Header Ads

Isu pertukaran MB, politik Terengganu kembali panas

WarkahDaily -- Isu pertukaran Menteri Besar Terengganu kembali panas selepas khabar angin kembali bertiup nama Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman sekali lagi dikaitkan bakal menggantikan penyandang Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar yang baru.

Semakin kuat desas-desus Razif bakal menggantikan Ahmad Said sebagai MB baru Terengganu berikutan sumber media mendakwa Adun Seberang Takir itu telah menerima panggilan dari Putrajaya mengarahkan beliau datang ke Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut akhbar The Star, Razif, 49, telah diminta bersiap sedia untuk menerima surat pelantikan daripada Perdana Menteri di Kuala Lumpur.

Razif didakwa bergegas ke Kuala Lumpur selepas selesai mesyuarat mingguan exco pada Rabu selepas menerima panggilan daripada Putrajaya.

Menurut laporan Sinar, sebuah akhbar berbahasa Inggeris mendakwa Razif difahamkan membatalkan kehadiran beliau dalam Majlis Penyerahan Jersi Kejohanan Bola Sepak Adun Seberang Takir yang diadakan di kawasannya secara tiba-tiba atas sebab tidak diketahui.

Ahmad Razif
Berdasarkan sumber terdekat dengan Adun Seberang Takir itu, pihak media dimaklumkan beliau terpaksa ke Kuala Lumpur dan dijangka menaiki penerbangan pada jam 4.15 petang kelmarin, namun sehingga jam 5.30 petang, beliau tidak muncul.

Razif bagaimanapun dipercayai menggunakan jalan darat untuk ke Kuala Lumpur bagi mengelak bertemu media yang berkumpul di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

Turut difahamkan, tujuan beliau ke ibu negara adalah untuk menemui pucuk pimpinan utama parti berkait pertukaran Menteri Besar yang dikhabarkan bakal dibuat pada 15 Mei ini, seperti mana yang diperkatakan ramai pihak sebelum ini.

Razif yang merupakan satu-satunya wakil rakyat BN yang berjaya mempertahankan kerusi dalam PRU13 lalu di Parlimen Kuala Nerus dikatakan antara nama yang disenarai pendek sebagai Menteri Besar yang baharu.

Menurut The Malaysian Insider, Perubahan jawatan menteri besar di Terengganu itu timbul selepas Ahmad menandatangani surat persetujuan bahawa beliau akan memegang jawatan itu hanya selama setahun selepas Barisan Nasional (BN) menang tipis pada pilihan raya umum yang lepas.

BN hanya memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala 15 kerusi dimenangi Pakatan Rakyat yang berjaya memenangi separuh daripada lapan kerusi Parlimen.

Najib memberikan Ahmad tempoh penangguhan selama setahun selepas pilihan raya kerana beliau mahu pemimpin Terengganu yang mempunyai keperibadian yang bersesuaian untuk bersama dengan rakyat.

Sumber Putrajaya memberitahu The Star, Ahmad menandatangani surat itu kira-kira dua minggu selepas pilihan raya umum pada 5 Mei tahun lalu.

Surat yang hanya sepanjang dua perenggan itu berkata sumber menyatakan Ahmad akan meletakkan jawatan sebagai menteri besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri selepas setahun dan pada tarikh yang akan ditentukan oleh Najib.

Sumber di Terengganu berkata, dalam kalangan para anggota exco dan pegawai kanan, mereka amat merasakan akan terdapat menteri besar baru tidak lama lagi.

Mereka turut percaya Ahmad akan mempengerusikan mesyuarat exco terakhir pada Khamis.

Ketika ditemui pemberita, Ahmad bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata,"Tiada komen."

Selain Razif, Adun Air putih, Wan Hakim Wan Ahmad, 45, turut dikaitkan sebagai calon yang akan menggantikan Ahmad Said sebagai MB.
Dikuasakan oleh Blogger.