Header Ads

Liga Super: Selangor rampas tahta liga, Kelantan kutip mata penuh

WarkahDaily -- Jaringan di minit ke-64 telah memisahkan antara Selangor dan Pahang apabila pemain sayap berasal dari Indonesia, Andik Vermansah menjadi hero Selangor apabila menjaringkan gol tunggal pasukan pelawat merobek gawang tuan rumah sekaligus mencalar rekod tanpa kalah Pahang di stadium keramat mereka dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Dengan kemenangan tipis 1-0 itu sudah cukup buat Selangor merampas kedudukan pendahulu liga daripada Pahang dengan kutipan 31 mata selepas mengharungi 15 perlawanan, meninggalkan Pahang di kedudukan kedua liga dengan 28 mata.

Manakala di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sime Darby FC berjaya mengejutkan Sarawak selepas mempamerkan kebangkitan bagi mencatat kemenangan 3-2.

Sarawak melalui jaringan S. Chanturu seawal minit ke-7 berjaya meletakkan anak buah Robert Alberts di hadapan. Pemain import, Ryan Griffiths memberi jaringan kedua Sarawak bagi meletak kedudukan selesa skuad kendalian Robert Alberts di minit ke-21.

Namun selang lapan minit, bermulanya kebangkitan dramatik pasukan bertaraf kelab, Sime Darby FC melalui pemain import mereka dari Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov dengan ledakan gol pertama sebelum menjaringkan gol kedua peribadi mengikat kedudukan 2-2 di masa tambahan separuh masa pertama.

Separuh masa kedua bermula, harapan Sarawak sekurang-kurangnya mengutip satu musnah apabila Mohd Syukur Saidin menjadi hero Sime Darby bagi meraih tiga mata penuh selepas menjaringkan gol ketiga pasukannya di minit ke-83.

Boateng menjadi dengan Kelantan

Selepas mengambil alih Kelantan daripada Steve Darby yang dipecat sebelum ini kerana prestasi tidak menentu di awal musim, kini pengendali baru 'The Red Warriors', George Boateng bermula dengan langkah kanan apabila anak buahnya berjaya mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan Selangor PKNS FC 2-0 di Stadium Shah Alam.

Wan Zaharulnizam Wan Zakaria membuka tirai jaringan pada minit ke-44 sebelum penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe memastikan kemenangan mutlak Kelantan dengan gol kedua pada minit ke-88.

Dengan kemenangan itu, Kelantan kini melonjak dua anak tangga iaitu ke kedudukan tangga kelima liga.

Perlawanan Lions XII dan Johor Darul Takzim 1 (JDT1) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura, terpaksa ditunda pada 20 Mei kerana beberapa pemain JDT1 terlibat dengan perlawanan amal Asean All-Stars menentang pasukan kebangsaan Indonesia di Jakarta.
Dikuasakan oleh Blogger.