Header Ads

Malaysia kuasai 23.8 peratus pasaran perbankan Islam global

Industri kewangan Islam Malaysia dijangka terus meningkat dan mampu memperkukuhkan kedudukan di peringkat global berikutan jumlah aset perbankan Islam bernilai RM494.5 bilion dengan penguasaan pasaran global sebanyak 23.8 peratus pada 2013.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, sasaran kerajaan untuk mencapai peningkatan perbankan Islam di Malaysia daripada 29 peratus pada 2010 hingga 40 peratus menjelang 2020 dilihat berada pada landasan yang tepat.

Katanya, sistem kewangan Islam Malaysia mempunyai landskap yang menyeluruh termasuk pasaran modal Islam, takaful dan perniagaan persisiran yang sudah menguasai pasaran global.

“Malaysia sekarang berada di kedudukan ketiga yang mempunyai pasaran aset syariah (bank Islamik, takaful dan sukuk) terbesar di dunia selepas Iran dan Arab Saudi. Manakala bagi takaful, negara berada di kedudukan kedua di dunia selepas Arab Saudi dan sukuk pula adalah yang terbesar di pasaran global.

“Dari segi terbitan sukuk pula, Malaysia menguasi 50 peratus terbitan sukuk global sejak 2007 serta mempunyai jumlah deposit perbankan Islam berjumlah RM386.2 bilion,” katanya pada majlis pelancaran Persidangan Audit Syariah 2014, di ibu negara baru-baru ini.
Dikuasakan oleh Blogger.