Header Ads

MCA tarik diri tanding PRK Bukit Gelugor

MCA dilaporkan akan menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor yang akan diadakan pada 25 Mei ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Ong Ka Chuan dalam satu kenyataan semalam, MCA tidak akan bertanding dalam PRK berkenaan kerana mendakwa mahu memberi tumpuan penentangan parti komponen BN itu terhadap pelaksanaan undang-undang hudud.

"Keputusan ini dibuat atas sebab MCA pada masa kini perlu memberi penuh perhatian ke atas krisis Perlembangan yang dicetuskan oleh PAS.

"MCA perlu berusaha secara sepenuhnya untuk menjalankan aktiviti melindungi Perlembagaan," kata Ong Ka Chuan.

Menurut Ong, MCA berharap penyokong-penyokong parti itu memahami tindakan tersebut.

"Walaupun kita tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini, tetapi kami menjamin bahawa kami akan terus berkhidmat kepada pengundi, memastikan isu-isu harian mereka mendapat perhatian yang seharusnya‎," kata Ong.

Kerusi Parlimen Bukit Gelugor kosong selepas penyandangnya, bekas Pengerusi DAP Karpal Singh meninggal dunia dalam satu kemalangan baru-baru ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 12 Mei sebagai tarikh penamaan calon dan para pengundi akan mengundi pada 25 Mei.
Dikuasakan oleh Blogger.