Header Ads

Pengusaha Percetakan Melayu desak kerajaan tidak sambung kontrak Dawama

Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) mengulangi desakan supaya kerajaan tidak menyambung kontrak konsesi percetakan dan penerbitan buku-buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada syarikat Dawama Sdn Bhd.

Kontrak itu akan berakhir pada 31 Ogos ini.Timbalan Presiden PPPMM Sulaiman Ali berkata, pihaknya sudah berjumpa dan berbincang dengan Kementerian Pendidikan dan DBP sebelum ini dalam usaha untuk mengembalikan kontrak tersebut kepada DBP.

“Kami memohon kepada kerajaan supaya membuat keputusan agar menamatkan kontrak (kepada Dawama) itu dan dikembalikan semula kepada DBP dan bukannya kepada pihak lain.

"Keputusan itu akan dapat membantu usahawan-usahawan dalam industri percetakan untuk meningkatkan perniagaan mereka," katanya dalam sidang media di pejabat DBP di Kuala Lumpur.

Dawama diberikan konsesi selama 12 tahun bermula September 2002 untuk mencetak, memasarkan dan mengedar buku terbitan DBP.

Menurut PPPMM, sejak 2009 sehingga April 2014, persatuan itu telah menghantar 13 memorandum termasuk kepada Kementerian Pendidikan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bantahan penyambungan perjanjian konsesi itu dilakukan kerana PPPMM mendakwa Dawama gagal membangunkan usahawan percetakan Bumiputera, selain dilihat tidak memiliki kepakaran dalam bidang percetakan, pengedaran dan pengangkutan termasuk pengurusan sumber manusia dan syarikat secara keseluruhannya.

Dawama pernah menghadapi krisis kewangan pada pertengahan 2011 sehingga syarikat itu terpaksa memberhentikan 288 pekerja tetap dan 40 pekerja kontrak.

Namun pada 2012, syarikat itu kemudian diambil alih oleh Utusan Printcorp Sdn Bhd yang turut menanggung liabiliti Dawama mencecah hampir RM130 juta.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.