Header Ads

Petronas lanjut perjanjian dengan pasukan F1 Mercedes AMG

Syarikat minyak nasional, Petronas bersetuju untuk melanjutkan perjanjian perkongsian jangka panjang dengan pasukan Formula Satu (F1), Mercedes AMG.

Perjanjian baharu itu diumumkan semasa majlis pemeteraian di Monaco F1 Grand Prix yang dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas; Pengerusi Lembaga Pengurusan Daimler AG dan Ketua Mercedes-Benz Cars, Dr Dieter Zetsche dan juga Ketua Mercedes-Benz Motorsport, Toto Wolff.

Shamsul Azhar berkata syarikat itu berasa amat berbangga untuk meneruskan kerjasama dengan syarikat pembuat kereta dari Jerman itu, baik di litar mahupun sebagai rakan perniagaan.

"Pasukan teknikal kami bekerjasama untuk memberikan tahap prestasi yang kami nikmati pada musim ini dalam F1 dan ia menunjukkan bahawa kami membangunkan dan menghasilkan produk bertaraf dunia secara bersama - di litar dan di jalan raya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak Petronas Motorsports, hari ini.

Zetsche mengutarakan pandangan yang sama seperti Shamsul Azhar sambil berkata kejayaan pasukan itu musim ini adalah hasil kerja keras dan perkongsian cemerlang dengan Petronas.

"Kami menyimpan hasrat yang sama untuk inovasi dan yang penting, keazaman untuk menang. Kami lebih kuat dengan jalinan kerjasama dan ia akan berkekalan,” kata beliau.

Wolff yang mengulangi sentimen Zetsche menyifatkan perkongsian antara kedua-dua syarikat dijalin sejak 2010 adalah berdasarkan nilai perkongsian sebenar - kepercayaan, kejujuran dan cita-cita bersama.

Beliau berkata dalam tempoh itu, Petronas telah menjadi syarikat minyak paling terkemuka dalam F1 dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membangunkan kerjasama bertaraf dunia dalam Fluid Technology Solutions yang memberi kelebihan di litar pada 2014.

"Hasilnya ialah perkongsian pada setiap tahap. Oleh itu, ia merupakan detik yang membanggakan untuk melanjutkan lagi perjanjian dan membuka jalan ke arah perkongsian sedekad antara Mercedes-Benz dan Petronas," kata beliau. -Bernama

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.