Header Ads

Selangor tewas ke atas Sevilla dalam aksi persahabatan

Tetap membanggakan walaupun tewas 0-2 kepada juara Liga Europa 2013/14, Sevilla, pendahulu Liga Super, Selangor berjaya mempamerkan aksi menarik malah tidak menghampakan kira-kira 35,000 penyokong setia Gergasi Merah Kuning yang memenuhi Stadium Shah Alam, Isnin lalu.

Tampil tanpa kekuatan sebenar dengan hanya menyenaraikan Paulo Rangel, Steve Pantelidis, Rizal Fahmi Rosid dan Azmi Muslim bersama barisan simpanan ternyata Selangor berjaya mengimbangi rentak pasukan lawan yang beraksi di pentas akhir Liga Europa, 14 Mei lalu.

SERAP TEKANAN

Hampir mengejutkan pelawat pada awal permainan melalui tandukan berbisa Rangel, Selangor dilihat tidak kekok dalam perlawanan tersebut serta dilihat banyak memberi tekanan kepada lawan yang sekadar bergerak di kawasan tengah mencari ruang mengatur serangan.

Berjaya mengekang asakan lawan selain berpeluang melakukan serangan balas, ternyata corak permainan anak didik Mehmet Durakovic tidak mengecewakan penonton yang hadir seawal jam tujuh petang bagi memberikan sokongan buat pasukan.

Namun serangan bertali arus pelawat nyata gagal dikekang pertahanan tuan rumah apabila melepaskan gol pertama melalui Piotr Trochowski minit ke-30 dan Diogo Figueiras menjadikan kedudukan 2-0 sebelum rehat.

UBAH RENTAK

Memasuki babak kedua, jelas menjadi milik Merah Kuning yang memasukkan beberapa pemain utama seperti Andik Vermansah, Mohd Farizal Marlias dan S Veenod untuk memburu gol pembukaan.

Ternyata kemasukan pemain tersebut berjaya mengubah tempo permainan dengan variasi corak serangan dipamerkan tuan rumah.

Beberapa peluang terhidang buat pemain sayap dari Indonesia, Andik yang kerap menggunakan kepantasannya memperdayakan pemain lawan namun sentuhan penyudah masih belum mampu menembusi gawang kelab La Liga itu yang dikawal Javi Varas.

Red Giants berpeluang memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-68 dan 75 namun ketumpulan jentera serangan dan kecekapan Varas mengawal pintu gol menghampakan peminat Selangor.

Peluang terakhir Selangor hadir menerusi A Thamil Arasu namun rembatannya melambung tinggi.

PUAS HATI

Bagi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad, aksi dipamerkan barisan pemain Selangor menarik dan berkualiti walaupun hanya menyenaraikan beberapa pemain utama pada babak pertama.

"Pemain telah melakukan tugas dengan baik begitu juga pengurusan, satu perlawanan yang bermanfaat buat pemain dan juga penyokong setia yang hadir memenuhi stadium.

"Kami harap Sevila menikmati perlawanan tersebut," katanya pada sidang media selepas perlawanan tersebut.

Sementara itu, pengurus Los Rojiblancos, Unai Emery yakin pihaknya akan kembali beraksi di Malaysia selepas ini melihatkan sokongan padu dari pengurusan dan peminat.

"Kehadiran Sevilla untuk menjalin semangat baru dan kami pasti akan kembali," katanya yang baru terpilih sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.