Header Ads

Sepasang Panda 'mewah' tiba di Kuala Lumpur

Sebagai simbolik jalinan hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China, pasangan Panda (Fuwa dan Fengyi) telah tiba di terminal MASkargo di KLIA pagi kelmarin.

Panda yang masing-masing berusia lapan tahun itu dipinjamkan oleh China kepada Malaysia selama 10 tahun menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

Melalui program perjanjian yang ditandatangani pada 2012 itu, Malaysia akan berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi, selain dapat membangun dan melatih kepakaran tempatan.

Dua ekor Panda itu berlepas dari Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan Panda Gergasi China Dujiangyan di wilayah Sichuan di barat daya China kelmarin melalui penerbangan pesawat khas MASkargo yang dihiasi dengan gambar binatang berkenaan pada badan pesawat.

Penerbangan khas itu selamat tiba pada jam 7.45 pagi dan kedua-dua haiwan berkenaan terus dibawa ke Zoo Negara dalam sebuah van khas dan akan diperkenalkan kepada orang ramai di Kompleks Beruang Panda Gergasi selepas dikuarantin selama satu bulan.

Menunggu ketibaan panda gergasi itu di terminal tersebut ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk G Palanivel dan Duta Cina ke Malaysia, Huang Huikang.

Malaysia tanggung kos yang tinggi

Menurut laman web Astro Awani, untuk membela kedua-dua ekor haiwan berkenaan bagi tempoh 10 tahun, Malaysia perlu membayar kepada China sekitar RM3 juta kepada China setiap tahun.

Perkara itu sepertimana dipersetujui dalam Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi yang ditandatangani antara Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China pada 15 Jun 2012.

Untuk menempatkan pasangan panda, dianggarkan RM25 juta dibelanjakan untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara melibatkan kawasan eksibit khas berkeluasan 1.6 hektar.

Sejumlah RM15 juta ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala bakinya oleh kerajaan.

Kos penjagaan panda oleh Zoo Negara pula dianggarkan RM1.5 juta setahun.

Sekiranya kedua panda membiak, Malaysia perlu membayar China sebanyak RM2 juta dan hanya boleh menyimpan bayi panda itu untuk tempoh 2 tahun.
Dikuasakan oleh Blogger.