Header Ads

Tahap pendidikan negara membimbangkan

Perkembangan berkaitan pendidikan negara cukup membimbangkan apabila melihat kepada hasil laporan penilaian menggunakan International Standard (PISA, TIMSS) telah meletakkan tahap pendidikan negara di aras yang rendah.

Menurut pemimpin veteran Umno yang juga ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, sistem pendidikan negara memerlukan perubahan drastik jika negara mahu melonjakkan daya saing di peringkat serantau dan global. Ia berikutan kegagalan yang sedang dihadapi oleh sistem pendidikan negara yang dinilai rendah oleh Bank Dunia pada akhir Mac 2014.

Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kegagalan sistem pendidikan ini dilihat dalam pelbagai aspek antaranya penilaian antarabangsa, integrasi kaum, modal insan serta penguasaan komunikasi.

Berucap pada majlis penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat (Kewangan), UiTM sempena istiadat konvokesyen UiTM ke-80, di Shah Alam, semalam, Tengku Razaleigh menyatakan kebimbangannya dengan tahap pendidikan negara yang dinilai rendah oleh Bank Dunia pada akhir Mac 2014.

“Kita memerlukan sistem pendidikan yang dikagumi dan diidami; sistem di mana ibu bapa berebut dan berlumba untuk mendapat tempat bagi anak mereka di sekolah awam aliran kebangsaan yang tinggi nilai ekonominya dan sekaligus tidak menghiraukan sistem persekolahan saingan,” ujarnya.

Menurut beliau, sistem pendidikan yang dilaksanakan sekarang tidak melahirkan insan berilmu yang mampu berfikir dengan berkesan dan cemerlang dalam keadaan yang berbagai, tidak menentu, mencabar dan cepat berubah.

“Saya masih ingat satu waktu dahulu bilamana kita dihormati dan disanjungi oleh masyarakat dunia. Di forum antarabangsa, kita sering diberi penghormatan untuk menyediakan ‘laporan perbincangan’, ‘kenyataan kesepakatan (communiqué)’, menjadi pemudahcara (moderator) dan sebagainya.

“Hal ini terjadi kerana secara relatif, kemampuan berfikir dan penguasaan bahasa kita adalah lebih baik. Malangnya keadaan berbeza sekali sekarang,” kesal beliau.

Tengku Razaleigh turut melahirkan kebimbangan terhadap keutuhan integrasi kaum di negara ini apabila polarisasi antara kaum dilihat pada tahap yang parah dan mengkhuatirkan.

"Sebagai orang lama yang menyaksikan pahit getir perjalanan panjang Malaysia, saya sangat sedih dengan apa yang berlaku.

"Paling menyedihkan, polarisasi ini juga wujud di institusi pengajian tinggi di mana masyarakatnya terpelajar," katanya.

“Kita gagal dalam penilaian antarabangsa, kita gagal dalam memupuk integrasi kaum, kita gagal dalam menghasilkan modal insan berilmu, berprinsip dan mampu berfikir.

“Kita juga gagal menguasai komunikasi sehingga kedudukan kita yang dihormati satu waktu dahulu terhakis,” ujarnya.

Sehubungan itu Tengku Razaleigh mahu Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025 mengambil kira pandangan yang diutarakan beliau untuk dilaksanakan.
Dikuasakan oleh Blogger.