Header Ads

Yakin dapat 70% undi: Nabi Bux mimpi di siang hari

Parlimen Bukit Gelugor merupakan kubu kuat PR-DAP yang pernah ditandingi mendiang Karpal Singh dalam PRU-13 lalu dengan meraih majoriti 42,706 undi menewaskan calon dari parti sebesar Barisan Nasional (BN) dari komponen MCA.

Namun lain pula bagi seorang calon bebas yang tidak pernah dikenali sebelum ini dalam dunia politik, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar yang menyimpan cita-cita besar konon dirinya mendapat maklum balas yang baik sepanjang siri kempen apabila begitu yakin akan mendapat sehingga 70 peratus undi dalam pilihanraya kecil (PRK) di kawasan itu pada 25 Mei nanti.

Parlimen Bukit Gelugor mempunyai komposisi kaum terdiri daripada 15.16% (Melayu), 74.25% (Cina) dan 10.15% (India) berdepan pertandingan membabitkan empat penjuru antara Ramkarpal Singh Deo (DAP), Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan dan dua calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan.

Ramkarpal dilihat tidak mempunyai masalah mengekalkan reputasi mendiang bapanya yang pernah meraih majoriti yang amat besar dalam PRU lalu.

Bagi calon bebas Mohamed Nabi Bux pula, beliau seolah-olah bermimpi di siang hari untuk meraih undi sehingga 70 peratus konon berdasar sambutan hangat yang beliau perolehi ketika berkempen.

Menurut berita Bernama, Mohamed Nabi Bux, 63, berkata beliau bukan sahaja mendapat sokongan daripada orang Melayu di Parlimen Bukit Gelugor malah kaum lain juga memberi maklum balas yang baik sepanjang siri kempennya.

“Sokongan dan maklum balas yang diterima sangat baik dan boleh dikatakan setiap tempat yang saya pergi berkempen memberi reaksi yang baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Malam Kampung Melayu, Air Itam.

Ditanya mengapa beliau begitu yakin akan menang, Mohamed Nabi Bux berkata ia berdasarkan manifestonya dan sepanjang berkempen beliau tidak pernah menabur janji.

Apakah ianya suatu realiti atau mimpi ngeri yang bakal diterima Mohamed Nabi Bux 25 Mei nanti ketika parti kerajaan BN pun dilihat tidak berani meletak calonnya bertanding di kubu kuat PR-DAP itu. Bagi penulis WarkahDaily, dikira sudah berjaya jika beliau berjaya elak daripada hilang wang deposit pada 25 Mei nanti.-WarkahDaily
Dikuasakan oleh Blogger.