Header Ads

Ali Rustam sokong perjuangan Perkasa

Perjuangan yang dilakukan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dalam mempertahankan kedudukan orang Islam di negara ini disokong sepenuhnya oleh Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam.

Menurut Mohd Ali, terlalu banyak sensitiviti mengenai perkauman telah dibangkitkan oleh sesetengah pihak masa ini.

“Antaranya terdapat pihak yang ingin membuang perkataan bangsa dan agama di dalam surat beranak dan kad pengenalan.

“Jika perkara ini dipersetujui, ini mendatangkan masalah kerana kita tidak akan dapat mengenalpasti sama ada seseorang itu Melayu Islam atau Melayu bukan Islam,” katanya dalam satu majlis anjuran Perkasa di Bandar Tun Razak.

Katanya, perkara ini dilihat seperti ada sesetengah pihak yang ingin memurtadkan orang Islam.

“Agama Islam tidak seperti agama lain kerana jika keluar daripada Islam dianggap murtad. Mereka yang murtad akan dihantar ke pusat pemulihan Islam,” jelasnya.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Melaka mendakwa terdapat juga pihak yang ingin meminda Akta Hasutan.

“Saya berpendapat Akta Hasutan tidak perlu dipinda kerana kita telah mempunyai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

“Dasar undang-undang Sosma harus digunakan. Saya mencadangkan kepada kerajaan supaya menahan individu yang bersalah di bawah akta ini selama dua bulan jika tidak dapat menahan selama dua tahun,” ujarnya.

“Saya akan terus menyokong Perkasa selagi perjuangan mereka betul demi mempertahankan orang Islam dan negara Malaysia,” katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.