Header Ads

Kazim perlu ada ilmu pengetahuan mendalam sebelum membuat ulasan

Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membidas kenyataan penceramah terkenal Mohd Kazim Elias yang mempertikaikan fatwa ulama terkenal dunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi mengatakan gelatin haiwan termasuk babi halal untuk digunakan.

Bekas mufti Perlis itu berkata, isu yang dibincangkan adalah mengenai “istihalah” iaitu sifat bahan yang berubah kepada bahan lain dan ia sememangnya mempunyai pandangan pelbagai mazhab.

“Saya terkejut dengan penceramah agama yang dikenali mengulas kenyataan Dr Yusuf mengenai kesan DNA khinzir dalam makanan dan bahan yang terdapat secara meluas di dunia hari ini.

“Jika kita dengar ulasan penceramah tersebut seakan Dr Yusuf, Majlis Fatwa Eropah, beberapa persidangan fekah di peringkat antarabangsa dan lain-lain yang mengharuskan itu tidak tahu bahawa babi itu haram,” katanya menerusi kiriman Facebook hari ini.

Kazim dalam satu ceramah semalam berkata umat Islam harus berpegang teguh kepada ketetapan Islam yang digariskan oleh mazhab yang selama ini menjadi ikutan kepada Muslim di negara ini.

Katanya, keempat-empat mazhab Islam berpegang teguh bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan babi tidak boleh dimakan, setiap benda makanan haram yang masuk dalam badan akan menjadi darah daging.

“Kalau makanan itu haram, nerakalah tempatnya bagi kita. Kalau makanan itu halal maka syurgalah tempatnya untuk kita,” kata Kazim.

Asri berkata Kazim perlu mempunyai ilmu pengetahuan mendalam sebelum membuat ulasan berkenaan, jika tidak ia hanya menampakkan kedangkalan fikiran dalam dunia ilmu yang luas.

Katanya, Dr Yusuf, Majlis Fatwa Eropah dan Persidangan Fekah Perubatan yang berlangsung di Maghribi pada 1997 bukan tidak tahu bahawa babi itu haram.

“Isu yang dibahaskan ialah istihalah yang merubah sifat sesuatu bahan. Isunya, bukan ingin makan seketul babi goreng atau pun sup babi, tetapi ingin memakan coklat terdapat kesan DNA babi.

“Kenyataan beliau bahawa mazhab empat mengharamkan khinzir amatlah canggung. Sebenarnya, masalah istihalah babi ini masalah khilafiyyah. Ada yang membolehkan dan ada pula yang mengharamkan seperti Majma al-Fiqh al-Islami di Jeddah,” katanya.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia itu turut memberi gambaran mudah seperti warga Singapura yang meminum “new water” iaitu air najis yang dirawat menjadi air bersih Katanya, warga Singapura tidak meminum air najis tetapi air itu asal bernajis namun dirawat dan dibersihkan, lapor The Malaysian Insider.




Dikuasakan oleh Blogger.