Header Ads

Kementerian nafi subsidi minyak untuk pendapatan kurang RM5,000

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini menafikan laporan bahawa hanya pengguna berpendapatan kurang RM5,000 dan membawa kenderaan berkuasa kurang 2,000cc layak menikmati pembelian bahan api bersubsidi secara sepenuhnya.

Laporan itu hanyalah satu spekulasi, kata Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad kepada pemberita di Putrajaya.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar bahawa pemilik kenderaan yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM10,000 diperuntukkan kuota petrol RON95 dan diesel bersubsidi sebanyak 300 liter dan selepas habis kuota itu, pemilik kenderaan itu perlu membeli bahan api mengikut harga pasaran.

Alias berkata memang ada pendekatan baharu berhubung subsidi petrol dan diesel tetapi kerajaan masih mengkaji perkara itu.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perundingan tahunan KPDNKK bersama sektor koperasi, yang turut dihadiri menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek.

Dalam perkembangan lain, Alias berkata KPDNKK akan mengadakan pertemuan dengan para pembekal barang keperluan makanan bagi memastikan barangan mencukupi semasa Ramadan dan Aidilfitri.

"Mungkin minggu depan kita akan tetapkan satu tarikh untuk bermesyuarat," katanya.-Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.