Header Ads

OCBC Al-Amin bank Islam terbaik - The Banker

OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin), anak syarikat perbankan Islam milik penuh OCBC Bank (Malaysia) Bhd, dipilih sebagai Bank Islam Terbaik 2014 di Malaysia oleh The Banker, terbitan perbankan antarabangsa paling lama di dunia yang berpangkalan di London, United Kingdom.

Ini adalah kali pertama bank Islam milik asing memenangi anugerah tersebut.Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Syed Abdull Aziz Syed Kechik berkata, anugerah itu mengesahkan kekuatan dan pertumbuhan bank tersebut sejak penubuhannya pada 2008.

"Kami berbesar hati untuk menerima anugerah ini, yang sesuai dengan masanya, lebih-lebih lagi dalam konteks sebuah negara yang mempunyai beberapa peserta perbankan Islam yang kukuh dan dalam usaha untuk memartabatkannya sebagai hab perbankan di rantau ini.

"Selain anugerah ini, kami terus mengiktiraf rangka kerja mantap yang disusun pihak berkuasa kawal selia yang membolehkan kami mencapai kejayaan selama ini. Kami akan terus melakukan yang terbaik bagi masyarakat perbankan tempatan dan antarabangsa sambil terus meluaskan operasi," katanya melalui satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, menurut Pengarang The Banker Brian Caplen, anugerah itu membuktikan pengurusan mantap, model perniagaan kukuh, strategi inovatif dan pendekatan risiko teliti OCBC Al-Amin.

"Anugerah kepada OCBC Al-Amin memperlihatkan kekuatan sektor perbankan Islam di Malaysia.

"Dalam pasaran yang kompetitif, bank ini menunjukkan tahap inovasi dan perkhidmatan pelanggan yang luar biasa, dan juga kadar pertumbuhan keseluruhan yang kukuh untuk menduduki tangga teratas," katanya.

OCBC Al-Amin baru-baru ini juga berkembang pesat dalam sektor runcit, dengan memperkenalkan cawangan OCBC Al-Amin Xpres yang menawarkan kemudahan dan capaian yang menyenangkan penduduk muda di bandar dan segmen Bumiputera.

Dengan pembukaan dua cawangan OCBC Al-Amin Xpres baharu pada 2013, bank itu kini mempunyai 10 cawangan perbankan Islam tersendiri.

OCBC Al-Amin turut mencatatkan peningkatan 131 peratus dalam untung sebelum cukai, daripada RM59 juta pada 2012 kepada RM136 juta pada 2013, iaitu tahun operasi penuhnya yang kelima.

sinarharian.com.my

Dikuasakan oleh Blogger.