Header Ads

PDRM sah juara Liga Perdana musim 2014

Walaupun tewas 3-2 kepada Kedah, namun ia tidak menghalang PDRM untuk menjulang trofi Liga Perdana 2014 malam ini selepas melengkapkan 22 perlawanan dengan mengumpul 52 mata.

PDRM akan beraksi di Liga Super pada musim hadapan, diiringi Felda United yang berada di tangga kedua dengan mengumpul 50 mata.

Permainan yang berlangsung di Stadium Selayang itu dilihat seimbang selepas kedua-dua pasukan masing-masing mempamerkan corak menyerang, sejak wisel pertama dibunyikan.

Di minit ke-11, Billy Mehmet hampir-hampir berjaya menyumbang gol untuk Kedah apabila sepakannya hanya sedikit tersasar selepas menyambut hantaran rakan dari sebelah kanan.

Di minit ke-37, PDRM dihadiahkan sepakan percuma apabila Ali Ashfaq dijatuhkan oleh Jose Franco Gomez dan dia turut dilayangkan kad kuning. Bagaimanapun, sepakan tersebut yang diambil oleh Rafael mudah diselamatkan penjaga gol lawan.

Syawan Zainon berjaya menjaringkan gol untuk Kedah di minit ke-43 selepas tandukannya gagal diselamatkan, hasil hantaran menarik daripada Mehmet.

Gol kedua Kedah dijaringkan di minit ke-50 menerusi Namkung Woong, sebelum Mehmet pula menambah kecewa PDRM di minit ke-58.

Di minit 60, Ashfaq berjaya menyelesaikan kebuntuan gol PDRM, malah ia menjadi kebangkitan skuad itu untuk mengejar pasukan dari utara itu.

Kesungguhan PDRM nyata berhasil apabila mereka sekali lagi berjaya merapatkan jurang hasil sumbangan Fauzi Majid di minit ke-78, ketika dalam keadaan kelam kabut di depan gol Kedah.

Kedudukan 3-2 yang berpihak kepada Kedah kekal hingga ke wisel penamat.

"Pada separuh masa pertama, kami bermain sambil lewa dan agak leka sikit. Selepas ketinggalan 3-0 baru nampak permainan sebenar yang kami tunjukkan. Bagaimanapun ia tetap ada sedikit kekecewaan. Kami mahukan kemenangan pada aksi penutup, malangnya kita tidak dapat lakukan.

"Pada pusingan pertama dahulu, PDRM bermain begitu baik, namun pada pusingan kedua pasukan lawan tidak mamandang mudah kepada kami sebab itu kami agak sukar sikit. Tetapi dengan semangat juang yang ditunjukkan kami dapat juga mengekalkan kedudukan ditangga teratas," kata jurulatih PDRM, Dollah Salleh.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.