Header Ads

Pembangunan Terengganu mesti utama penduduk setempat - MB Razif

Kerajaan Terengganu mahu memastikan setiap pembangunan yang dirancang di negeri itu, mestilah mengutamakan kepentingan dan kehendak penduduk tempatan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan mahu sebarang pembangunan yang hendak dilaksanakan, perlulah menepati kehendak dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Ahmad Razif
"Konsep yang kita akan buat mengikut 'konsep makmal pemandu' iaitu sebelum dibangunkan, hendaklah diadakan pameran untuk tunjuk kepada rakyat tentang perancangan yang hendak dibuat. Saya setuju untuk membangunkan Pekan Ajil dan kalau berkesempatan, ia hendaklah bermula pada tahun ini juga," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan solat hajat dan majlis kesyukuran sempena pelantikannya sebagai menteri besar di Masjid Pekan Ajil semalam.

Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas Negeri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Ghazali Taib dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Mohd Rozali Saleh.

Ahmad Razif berkata kerajaan ingin melihat sekurang-kurangnya lebih 50% pembangunan yang hendak dibangunkan itu dinikmati rakyat tempatan iaitu menggunakan konsep integrasi, iaitu kerajaan negeri bangunkan tanah milik orang kampung.

"Kita pelawa orang kampung yang mempunyai tanah yang akan kita kenalpasti kelak dan kita akan bantu mereka dari segi pembangunan... dengan konsep itu, kerajaan negeri tidak perlu ambil balik tanah orang kampung, tetapi kita bantu membangun dan memajukan tanah mereka," katanya. –Bernama

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.