Header Ads

Piala Dunia: Tandukan Godin bantu Uruguay singkir Itali ke peringkat kalah mati

Tandukan kapten Uruguay, Diego Godin di minit ke-81 memusnahkan impian skuad 'Azzuri' untuk menyertai Costa Rica layak ke pusingan kalah mati kejohanan Piala Dunia FIFA 2014 Brazil awal pagi ini.

Perlawanan berlangsung agak tegang memandangkan kedua-dua pasukan ingin layak ke pusingan seterusnya dengan berlakunya beberapa asakan keras.

Itali yang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak tampak tidak mempunyai masalah mengekang asakan lawan, namun keadaan berubah selepas Claudio Marchisio dilayankan kad merah apabila mengasari pemain Uruguay, Egidio Arevalo pada minit ke-59.

Itali yang berdepan kesukaran bermain 10 orang telah memberi kelebihan buat Uruguay mencari gol kemenangan apabila melakukan serangan bertali arus ke kubu lawan bagi mencari gol kemenangan.

Akhirnya di minit ke-81, Diego Godin berjaya melepasi halangan beberapa pertahanan Itali apabila cuba menanduk bola hasil sepakan sudut namun terkena bahu kirinya dan akhirnya melantun ke arah pintu gol menewaskan penjaga gol veteran Itali Gianluigi Buffon yang gagal menahan bola daripada menerjah gawang.

Terkejut dengan jaringan lawan, Itali kelihatan terdesak apabila cuba menyusun serangan bertali arus ke kubu lawan di minit terakhir permainan walaupun kekurangan seorang pemain, namun Uruguay tidak mudah menyerah kalah mempertahankan kelebihan gol hingga ke wisel penamat sekaligus mencari kemenangan untuk layak ke peringkat kalah mati.

Uruguay menamatkan aksi peringkat Kumpulan D dengan mengumpul enam mata di belakang Costa Rica yang turut layak ke peringkat kalah mati dengan mengutip 7 mata selepas seri dengan England 0-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan. Juara dunia empat kali Itali tersingkir apabila hanya mengutip tiga mata dalam aksi kumpulan D. -WarkahDaily
Dikuasakan oleh Blogger.