Header Ads

Rombakan kabinet: Tanggung ahli kabinet bertambah, rakyat tunggu bayar GST

Ketika banyak pihak memandang sinis dengan pentadbiran Dato Seri Najib Razak yang memegang 'Guinness Book of Records' barisan kabinet yang mempunyai bilangan menteri paling ramai di dunia, namun Perdana Menteri itu masih kelihatan 'selesa' dengan rekodnya itu.

Sudah tentu perbendaharaan negara terpaksa menanggung beban kewangan yang semakin besar untuk membayar elaun para barisan kabinet Najib ketika rakyat marhaen bakal berdepan tanggungan beban GST tidak lama lagi.

Ramai menjangkakan Najib akan melakukan rombakan besar-besaran dengan mengecilkan sedikit jumlah barisan kabinet namun sebaliknya berlaku apabila mengumumkan beberapa pemimpin kanan dari MCA dan Gerakan kembali menyertai barisan kabinet selepas memulaunya sebelum ini.

Selain menyangka Najib mengecilkan jumlah kabinetnya, ramai juga turut berharap beberapa menteri yang dianggap 'cap ayam' turut disingkirkan dari barisan menteri namun tiada isyarat ke arah itu akan berlaku.

Laporan media semalam menyebut Najib selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan kemasukan kembali wakil dari MCA dan Gerakan dalam kabinet 'gergasinya'.

Menurut portal The Malaysian Insider, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai telah dilantik sebagai menteri pengangkutan, menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang sebelum ini memangku jawatan berkenaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sementara Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, Najib turut melantik Naib Presiden MCA Senator Lee Chee Leong menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Chua Tee Yong menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan dan Senator Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Sebelum ini, MCA dibawah pimpinan bekas Presidennya, Tan Sri Dr Chua Soi Lek telah menolak sebarang jawatan dalam kerajaan ekoran pencapaian merundum dalam PRU13 tahun lalu. -WarkahDaily
Dikuasakan oleh Blogger.