Header Ads

RUU Johor lulus tanpa sokongan anggota DUN daripada PR

Rang undang-undang untuk menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor akhirnya diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Tiada anggota DUN daripada Pakatan Rakyat mengundi menyokongnya.

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh exco Datuk Abd Latiff Bandi pada 2.30 petang ini.

Setelah pelbagai kritikan, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam berkata, rang undang-undang itu akan dipinda dengan memasukkan peranan sultan atas nasihat menteri besar.

Sementara itu Bernama melaporkan DUN Johor hari ini meluluskan Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 yang bertujuan menyediakan satu bentuk perundangan berkaitan pembangunan sektor perumahan dan hartanah di negeri ini.

Terdahulu, rang undang-undang itu yang merangkumi enam Bahagian, 51 Fasal dan tiga Jadual dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Latiff Bandi.

Lima wakil rakyat kerajaan dan tiga wakil pembangkang membahaskan rang undang-undang itu selama tiga jam sebelum diluluskan.

Rang undang-undang itu, yang sebelum ini menimbulkan reaksi pelbagai pihak kerana apabila diluluskan dikatakan akan menyaksikan pembabitan Sultan dalam pentadbiran kerajaan negeri, menyaksikan 10 pindaan terhadap lapan fasal.

Antara pindaan itu membabitkan Fasal 4 (3) Keanggotaan Lembaga iaitu ahli-ahli lembaga boleh dibayar saraan atau elaun seperti yang ditentukan oleh Raja, dipinda kepada ahli-ahli lembaga boleh dibayar saraan atau elaun seperti yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Gulung perbahasan

Bagi Fasal 12 (2) Pelantikan Pengarah, Pegawai dan Pekhidmat iaitu pelantikan Pengarah hendaklah dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja, dipinda kepada segala pelantikan Pengarah hendaklah dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja atas nasihat Menteri Besar.

Fasal 43 (1) Penggulungan dan Pembubaran iaitu Raja boleh melalui perintah yang disiarkan dalam Warta mengarahkan supaya lembaga digulung dan dibubarkan, dipinda kepada Pihak Berkuasa Negeri boleh melalui perintah yang disiarkan dalam warta mengarahkan supaya lembaga digulung dan dibubarkan.

Abdul Latiff ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata penyediaan enakmen berkenaan bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi lebih kepada membantu memperkukuh sektor perumahan dan hartanah di Johor.

Beliau berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor yang ditubuhkan mempunyai beberapa fungsi merangkumi penyediaan dasar, pelaksanaan, penyelarasan serta perancangan pembangunan sektor perumahan dan hartanah negeri ini.

"Ini seterusnya akan memberi kemudahan kepada rakyat, pihak-pihak berkepentingan seperti pemaju dan perunding dalam menjalankan urusan berkaitan sektor perumahan dan hartanah di negeri Johor," katanya.

Terdahulu, Maulizan Bujang (BN-Tiram) ketika membahaskan rang undang-undang itu berkata jika dilihat dari sudut tujuan, matlamat dan fungsi, enakmen tersebut amat baik dalam usaha kerajaan memantapkan urusan pembangunan hartanah terutama melibatkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Beliau berkata akan wujud sebuah entiti yang bakal menguruskan hal-hal berkaitan perumahan atau kediaman rakyat negeri Johor secara lebih berkesan dan fokus menerusi penubuhan lembaga terbabit.

"Saya mengharapkan lembaga ini juga dapat mengenal pasti tanah di bandar yang munasabah dari segi lokasi dan nilainya untuk dibangunkan sebagai (projek) rumah mampu milik. Ini penting untuk kita tentukan bahawa semua golongan dapat berada di kawasan di mana berlaku pembangunan," katanya.

Wong Shu Qi (DAP-Senai) pula berkata enakmen berkenaan tepat pada masanya, namun terdapat beberapa isu yang perlu dijelaskan.

Beliau berkata sebagai wakil rakyat Johor, semua anggota perlu memahami keperluan rakyat ketika ini khasnya keluarga pasangan muda sebelum menggubal dasar dan undang-undang yang dapat memenuhi keperluan rakyat.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.