Header Ads

Subsidi minyak: Bung Mokhtar beri amaran kepada kerajaan

Kerajaan perlu memastikan subsidi untuk rakyat negara ini sampai kepada golongan sasar sahaja.

Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin subsidi negara ini telah dinikmati golongan kaya termasuk warganegara asing.

"Tidak adakah mekanisme lain yang boleh kita letakkan bagi memastikan subsidi ini sampai kepada golongan sasar yang betul-betul memerlukan subsidi?

"Contoh di stesen minyak, subsidi petrol dan diesel turut dinikmati golongan kaya raya yang memandu kereta mewah, orang luar yang bawa kereta Malaysia dan sebagainya," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2014 di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau juga sempat memberi amaran kepada kerajaan agar mengambil perhatian terhadap perkara itu bimbang rakyat bangkit menentang kerajaan sedia ada.

"Jadi, bila nak rasionalisasi subsidi ini? Timbalan Menteri Kewangan kata akan ada rasionalisasi, saya nak tanya, bila? Rakyat suruh tanya.

"Saya harap kementerian mengambil perhatian. Jangan sampai perkara yang merugikan rakyat ini (membuatkan) rakyat bangkit menentang kerajaan yang ada ini. Maka lenyaplah segala-galanya, subsidi pun tidak ada. Saya bagi amaran awal-awal," katanya.

Dalam hujah sama, beliau turut membidas kenyataan Pengarah Urusan Kumpulan YTL, Tan Sri Dr Francis Yeoh yang sebelum ini dilaporkan menyindir kerajaan.

"Kalau perkara ini benar, saya minta kerajaan menyediakan rakaman hujah-hujah daripada Francis Yeo. Dia kata tak mahu berniaga di Malaysia lagi kerana negara Malaysia penuh dengan rasuah dan kronisme," katanya.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mencelah dan mencadangkan agar Bung Mokhtar serta ahli Parlimen BN lain campur tangan dalam soal kontrak pengeluar tenaga bebas (IPP) yang diberi tanpa tender terbuka tersebut.

"Saya suka hatilah dengar Kinabatangan bercakap tentang YTL. Begitu lantang tapi tak cukup sekadar dalam dewan sahaja. Saya minta Kinabatangan dan rakan-rakan dari BN, campur tangan dan pastikan kontrak IPP terbaru yang diberi tanpa tender terbuka kepada YTL, baru-baru ini.

"Kinabatangan kena pergi jumpa Pekan (Perdana Menteri) dan pastikan perkara itu tidak diteruskan kerana sekarang yang membantah bukan sahaja PR tapi juga seluruh tenaga kerja TNB. Kalau bising dalam dewan tapi YTL terus mendapat IPP tanpa tender terbuka, apa guna Kinabatangan bising dalam dewan begini?," katanya.

Sementara itu, Bung Mokhtar menyangkal dakwaan Rafizi itu dan menegaskan beliau akan menegur mana-mana pihak yang dilihat menyeleweng atau tidak mengutamakan rakyat.

"Saya di sini bukan bising. Saya menyuarakan perkara-perkara dan Yang Berhormat harus teliti pendirian saya jelas.

"Mana-mana agensi kerajaan, pemimpin BN dalam Umno sekalipun, kalau saya rasa dia menyeleweng, tidak utamakan rakyat, maka saya akan tegur secara terbuka di mana sekalipun," katanya.

Sementara, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang berjaya mencelah selepas beberapa kali mencuba menyifatkan tindakan Bung Mokhtar itu sekadar perasaan marah kepada Francis Yeoh kerana tidak berterima kasih kepada kerajaan bukannya mempertikai amalan kronisme.

"Biar Shah Alam jadi putar alam. Saya memang kenal dia punya teknik. Memang raja putar. Saya tak kata saya marah. Selaku wakil rakyat, saya bertanggungjawab menyedarkan kerajaan, termasuk sedarkan Francis Yeo ini. Bukan soal berterima kasih tidak berterima kasih.

"Kalau ada kronisme, penyelewengan kenapa tidak dari awal-awal dia dedahkan? Kenapa sudah berjaya jadi 'multi-bilionaire' baru nak tegur? Jadi, Shah Alam saya rasa cukup sampai di sini antara kita berdua," katanya.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.