Header Ads

‘Ubat kuat' popular lelaki tempatan rupa-rupanya dihasilkan ‘saintis’ kilang haram

Dua jenis ‘ubat kuat’ yang makin popular dalam kalangan lelaki tempatan, terutama kaum Melayu, dan dijual di pasaran gelap serta menerusi online, rupa-rupanya hanya dihasilkan ‘saintis’ kilang haram di Balakong dan Seri Kembangan, dekat ibu negara.

Dua jenama itu adalah produk makanan tambahan dan kopi pracampuran yang didakwa mampu menambah tenaga kelakian, tetapi sebenarnya boleh menyebabkan penggunanya berdepan pelbagai masalah kesihatan seperti mati pucuk, muka terbakar selain mengundang maut jika diambil secara berlebihan.

Ini berikutan produk itu dicampur dengan ‘thiodimethylsildenafil’ iaitu sejenis racun berjadual yang memerlukan preskripsi daripada doktor jika mahu mengambilnya.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) Mazlan Ismail berkata, masyarakat Melayu paling ramai mengambil ubatan tiruan walaupun sedar mereka bakal berdepan masalah kesihatan.

“Contohnya satu daripada produk itu, ia kononnya diimport dari Brazil, sedangkan ia sebenarnya dihasilkan oleh saintis kilang pengeluar ubatan haram di Balakong serta Seri Kembangan.

“Kandungan Thiodimethylsildenafil di dalam produk itu boleh menyebabkan penggunanya berdepan masalah kesihatan selain maut.

“Saintis kilang haram terbabit hanya menggunakan serbuk kopi, milo, gula selain ‘tadanafil’ dan ‘sildenafil’, kedua-duanya racun berjadual, untuk menghasilkan produk kesihatan yang kononnya membantu mengatasi masalah ranjang dihadapi penggunanya,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.

Thiodimethylsildenafil boleh meninggalkan kesan kepada jantung seperti berdegup lebih kencang selain tekanan darah semakin tinggi. Ia juga boleh menyebabkan pengguna yang mempunyai masalah jantung berdepan kemungkinan mati mengejut.

Mazlan berkata, dalang di sebalik semua barangan itu adalah pemilik kilang pengeluar ubatan bertauliah dan mereka mengambil kesempatan membina kilang haram untuk mengaut keuntungan lebih tinggi.

“Setiap kilang bertauliah akan diberi sijil ‘Good Manufacturing Practice’ (GMP), namun segelintir daripada mereka menggunakan mesin menghasilkan ubatan disahkan kami serta KKM untuk mengeluarkan produk tiruan atau haram.

“Kami pernah menyerbu beberapa kilang serta premis yang dijadikan pusat menghasilkan ubatan haram serta makanan tambahan beracun di Balakong serta Seri Kembangan, selain merampas mesin penghasilan kopi pracampuran berkenaan, tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat Melayu perlu lebih percayakan doktor untuk mendapatkan rawatan atau khidmat kaunseling dan bukan terus mendapatkan barangan terbabit di pasaran yang diragui keasliannya.

“Contohnya produk makanan tambahan ini, ia tidak boleh diambil kerana kandungan selain bahayanya. Masyarakat Melayu perlu menghindari pengambilan bahan seperti ini, sebaliknya pergi bertemu doktor jika berdepan masalah kesihatan.

“Berdasarkan pengalaman saya, masyarakat lain lebih gemar menggunakan herba selain akar kayu jika mahukan ubatan tradisional. Ia memang mahal namun berkesan.

“Mereka tidak gemar mendapatkan kopi pracampuran yang diharamkan selain makanan tambahan beracun kerana sedar implikasinya,” katanya.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.