Header Ads

Argentina mara ke final, singkir Belanda melalui penentuan penalti

Penjaga gol Argentina, Sergio Romero menyelamatkan sepakan penalti Wesley Sneijder dari Belanda dalam penentuan penalti aksi Piala Dunia separuh akhir 2014 di arena Corinthians di Sao Paulo awal pagi tadi. -foto Reuters
Argentina akan bertemu Jerman di final apabila menumpaskan Belanda 4-2, dalam penentuan penalti selepas kedua-duanya terikat 0-0, di Arena de Sao Paulo, awal pagi ini.

Penjaga gol, Sergio Romero, boleh diandaikan sebagai antara faktor utama apabila menyelamatkan dua percubaan yang dilakukan Wesley Sneijder dan Ron Vlaar dalam penentuan penalti.

Argentina memperoleh gol kemenangan mereka menerusi Maxi Rodriguez yang menjadi pemain keempat mengambil sepakan penalti. Penjaring lain Argentina adalah Messi, Ezequiel Garay dan Sergio Aguero.

Final ketiga buat Argentina dan Jerman di pentas piala dunia kali ini akan berlangsung di Stadium Maracana, Isnin, 4 pagi.

Pada perlawanan 1986, Argentina muncul juara selepas menumpaskan Jerman (Jerman Barat ketika itu), 3-2.

Pada 1990, kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu dan pada tahun itu Jerman Barat muncul juara selepas menumpaskan Argentina 1-0.

Penentuan penalti pada pertemuan dengan Belanda adalah pengalaman keempat Argentina yang mencatatkan tiga kemenangan dan tewas sekali manakala Belanda tidak pernah bernasib baik.

Romero ketika ditemui selepas perlawanan memberitahu: "Penentuan penalti bergantung kepada nasib. Itu adalah realiti. Tapi, saya memang yakin degan diri sendiri dan akhirnya nasib menyebelahi kami."

Penyerang Belanda, Arjen Robben pula berkata: "Memang pedih apabila tewas dengan cara ini (penentuan penalti). Sukar diterima tapi itulah sukan.

Sementara itu, pemain pertahanan Belanda yang gagal menyempurnakan sepakan penalti, Ron Vlaar, berkata: "Saya tidak gugup. Saya memberikan tumpuan tapi tidak dapat menyempurnakannya."

Jurulatih Belanda, Louis van Gaal pula mengakui: "Saya memang hendak sangat memasukkan Tim Krul tapi semua tiga kuota pemain simpanan sudah digunakan. Oleh itu, saya tidak dapat lakukannya."

BELANDA: Jasper Cillessen, Dirk Kuyt, Stefan de Vrij, Ron Vlaar, Bruno Martins Indi (Daryl Janmaat, `46), Daley Blind, Georginio Wijnaldum, Wesley Sneijder, Nigel de Jong (Jordy Clasie `62); Arjen Robben, Robin van Persie (Klaas-Jan Huntelaar `96).

Penalti: Arjen Robben, Dirk Kuyt

ARGENTINA: Sergio Romero, Pablo Zabaleta, Martin Demichelis, Ezequiel Garay, Marcos Rojo, Enzo PĂ©rez (Rodrigo Palacio `81), Lucas Biglia, Javier Mascherano, Ezequiel Lavezzi (Maxi Rodriguez `101), Lionel Messi, Gonzalo Higuain (Sergio Aguero `82)

Penalti: Lionel Messi, Ezequiel Garay, Sergio Aguero, Maxi Rodriguez

PENGADIL: Cuneyt Cakir (TUR)
Dikuasakan oleh Blogger.