Header Ads

Belgium berhempas pulas singkir AS untuk mara ke suku akhir

Belgium terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menumbangkan Amerika Syarikat (AS), 2-1 pada aksi terakhir perlawanan pusingan kedua Piala Dunia yang cukup mendebarkan di Arena Fonte Nova, sebentar tadi selepas ia ditentukan menerusi permainan masa tambahan.

Sekalipun lebih menguasai permainan, Belgium yang menjuarai Kumpulan H untuk mara ke pusingan kedua dan dikuatkan dengan barisan ternama begitupun bagai berdepan sumpahan apabila semua peluang terbaik untuk menjaringkan gol yang diperoleh gagal disempurnakan.

Namun, segala-galanya berubah ketika masa tambahan apabila Belgium pantas mengubah rentak permainan dan kehadiran penyerang, Romelu Lukaku bagi menggantikan Divock Origi jelas memberi nafas baru.

Bermula daripada gerakannya, Belgium meledak jaringan pertama menerusi Kevin De Bruyne yang akhirnya berjaya menewaskan penjaga gol AS, Tim Howard yang sehingga saat itu beraksi cukup cemerlang sepanjang permainan dengan lebih sedozen kali tampil menyelamatkan gawang pasukan.

Lukaku turut meletakkan namanya dalam senarai penjaring selepas memanfaatkan hantaran De Bruyne untuk menewaskan Howard buat kali kedua pada minit ke-105.

Begitupun, ketika perlawanan hampir berakhir buat AS, pemain gantian, Julian Green yang baru berusia 18 tahun kembali mencetus semangat untuk meledak jaringan cantik pada minit ke-107 menewaskan Thibaut Courtois.

Malah, Courtois yang juga penjaga gol Atletico Madrid terpaksa menggunakan segala kehebatannya untuk menafikan kebangkitan AS ketika masa tambahan berbaki 10 minit dengan keputusan kekal sehingga wisel ditiup.

Sebelum perlawanan memasuki masa tambahan, AS boleh menamatkan perlawanan lebih awal namun Chris Wondolowski gagal menampan bola dengan sempurna yang berakhir tinggi melepasi gawang Belgium.

Di suku akhir, Belgium akan bertemu satu lagi pasukan pilihan, Argentina. -Agensi
Dikuasakan oleh Blogger.