Header Ads

Brazil tempang tanpa dua tonggak dalam pertemuan dengan Jerman di separuh akhir

Satu perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2014 akan berlangsung antara Brazil bertemu Jerman di Belo Horizonte, awal pagi nanti.

Selaku tuan rumah, Brazil berdepan sedikit tekanan apabila dua pemain utama mereka Neymar dan Thiago Silva tidak dapat beraksi pagi nanti.

Neymar terpaksa melupakan aksi Piala Dunia apabila mengalami keretakan di bahagian tulang belakang selepas diterjah keras dengan lutut oleh Juan Zuniga tepat di bahagian belakang ketika Brazil menang 2-1 ke atas Colombia di aksi suku akhir.

Sementara Thiago Silva tidak dapat beraksi kerana digantung perlawanan akibat dilayangkan kad kuning dalam perlawanan yang sama.

Dalam perkembangan lain, Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) dilaporkan cuba meminta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menarik balik penggantungan Silva bagi membolehkan kapten mereka itu beraksi dalam pertemuan dengan Jerman pagi nanti.

Jerman yang terkenal dengan pertahanan yang kental dilihat mempunyai kelebihan untuk layak ke perlawanan akhir namun perlawanan pagi nanti adalah penentuan segala-galanya.

Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan adalah pada perlawanan akhir Piala Dunia 2002 di Jepun dan dimenangi Brazil.

Perlawanan antara Brazil menentang Jerman itu akan diadili oleh pengadil dari Mexico, Marco Rodrigues. -WarkahDaily
Dikuasakan oleh Blogger.