Header Ads

Dakwaan kuasa misteri dikaitkan dengan kehilangan MH370 hanya spekulasi - Hishammuddin

Dakwaan penyiasat nahas udara Australia yang mengaitkan kehilangan penerbangan MH370 dengan kuasa misteri baru-baru ini hanyalah spekulasi, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kerajaan Malaysia hanya menerima pakai laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang ditubuhkan khusus berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu.

"Apa juga isu kita ada panel pakar untuk mengesahkannya. Laporan itu bukan daripada JACC.

"Bagaimanapun saya tetap anggap sebarang maklumat terkini... sama seperti yang saya lakukan pada masa lalu... biar JACC sahkan. Selama ini kita tidak pernah berhenti daripada mencari kotak hitam dan mengesan maklumat baharu berhubung pesawat itu," katanya kepada pemberita selepas taklimat Jawatankuasa Khas Kabinet berhubung insiden MH370 di Parlimen.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) semalam, unit data satelit pesawat itu cuba 'log masuk' ke satelit dalam tempoh tidak sampai 90 minit setelah berlepas.

Permintaan itu yang dikenali sebagai 'hand shake' mungkin disebabkan gangguan kuasa elektrik pesawat Boeing 777 tersebut.
Dikuasakan oleh Blogger.