Header Ads

Helikopter tentera terhempas, 16 terbunuh lima cedera

Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh, manakala lima lagi cedera apabila helikopter tentera terhempas ketika menjalani satu latihan harian, lapor media tempatan, di Hanoi, semalam.

Timbalan Komander Tentera, Leftenan Jeneral Vo Van Tuan berkata, pesawat itu membawa 21 penumpang dan terhempas ketika latihan payung terjun, membunuh 16 orang dan mencederakan lima yang lain. Penumpang yang mati adalah anggota tentera.

“Berdasarkan siasatan awal kami, kemalangan berpunca daripada masalah teknikal. Cuaca baik ketika kejadian dan saya boleh katakan ia tidak membabitkan perbuatan sabotaj,” katanya.

Sumber tentera yang tidak mahu dikenali memaklumkan, helikopter Mi-171 buatan Rusia itu terhempas awal pagi di daerah Thach sebelah barat bandar Hanoi.

“Ada beberapa penumpang di dalam penerbangan berkenaan dan kini kami sedang memeriksa lokasi kemalangan dan punca kemalangan itu. Nahas itu berlaku ketika latihan payung terjun dilakukan,” katanya.

Keluarkan bunyi pelik
Akhbar Thanh Nien dipetik sebagai berkata terdapat 21 penumpang keseluruhan dalam penerbangan terbabit. Tiga anak kapal, dua pelatih dan 16 askar ketika latihan itu dijalankan.

Penduduk tempatan yang enggan namanya disiarkan memberitahu AFP, helikopter malang itu dikatakan menghadapi masalah sebelum terhempas dan terbakar.

“Saya terdengar helikopter itu mengeluarkan bunyi yang pelik dan ketika keluar saya lihat helikopter sudah meletup dengan kepulan asap hitam memenuhi ruang udara,” katanya. -AFP

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.