Header Ads

Kenyataan angkuh Zahid Hamidi galakkan keganasan

Ti Lian Ker
MCA menyelar respons “endah tak endah” Datuk Seri Zahid Hamidi terhadap insiden kepala lembu diletakkan di depan rumah seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Pulau Pinang.

“Malang sekali apabila menteri dalam negeri Datuk Seri Zahid Hamidi mengambil sikap endah tak endah... terhadap insiden itu,” kata pengerusi biro keharmonian agama MCA Ti Lian Ker.

Katanya, sebagai menteri kabinet bertanggungjawab dalam keselamatan dan kestabilan negara, rakyat Malaysia mahukan Zahid menegakkan undang-undang terhadap semua pihak.

“Sikap tidak peduli dan kenyataan angkuh hanya akan menggalakkan keganasan dan Malaysia akan menuju kepada negara tiada undang-undang,” kata Ti lagi.

Satu kepala lembu ditemui di hadapan rumah ADUN Seri Delima RSN Rayer di Island Park, Pulau Pinang pada 28 Jun lalu.

Ia mungkin mempunyai kaitan ucapan kontroversinya sebelum ini yang menggelarkan beberapa pemimpin Umno sebagai celaka.

Rakyat Post memetik Zahid sebagai berkata, Rayer perlu sedar bahawa kenyataannya itu menimbulkan kemarahan orang ramai dan sebagai ahli politik, beliau bersimpati dengannya.

“Tapi itulah harga yang patut dibayar jika bermulut celupar,” Zahid dilapor sebagai berkata dalam sidang media selepas melancarkan sebuah program di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Baru.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.