Header Ads

Larang semua masjid guna pembesar suara di bulan Ramadan

Majlis Ulama Indonesia (MUI) di beberapa daerah di Madura, Jawa Timur melarang semua masjid dan surau daripada menggunakan pembesar suara dalam melaksanakan kegiatan tadarus selama bulan Ramadan. Larangan itu berkuatkuasa antara pukul 10 malam sehingga pukul 3 pagi.

Ketua MUI Pamekasan, Ali Rahbini Abdul Latif menjelaskan larangan itu semata-mata agar tidak mengganggu masyarakat yang sedang berehat setelah melakukan solat tarawih dan ibadat lainnya.

"Tadarus boleh sampai jam berapa pun, tetapi jangan mengganggu orang lain. Oleh sebab itu, dilarang membunyikan pembesar suara atas," kata Ali Rahbini seperti dipetik oleh Kompas baru-baru ini.

Rahbini menambah kalaupun mahu menggunakan pembesar suara, cukup di dalam masjid saja dan tidak keluar sampai ke kawasan sekitar supaya tidak mengganggu orang lain.

Larangan itu bagaimanapun hanya bersifat nasihat. Sekiranya ada pelanggaran, MUI menyerahkan kepada pihak pengurusan masjid dan surau berkenaan untuk sebarang tindakan.

Rahbini yakin semua masjid dan surau akan mematuhi nasihat itu kerana ia sudah disebarkan kepada umum. Selebihnya, tidak menggunakan pembesar suara juga tidak akan menjejaskan kegiatan ibadah.

"Yang tidak boleh kan hanya pembesar suaranya saja, sementara ibadah lainnya tetap boleh dilanjutkan," katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.