Header Ads

PAS pertikai pembatalan status tanah rizab Melayu

PAS Perak semalam mempertikaikan pembatalan berterusan tanah rizab Melayu di Lumut yang menurutnya menyebabkan kawasan itu hilang identiti sebagai kawasan pelancongan.

Ketua Pemudanya Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, pembatalan status itu di Teluk Senangin dan Teluk Rabiah menyebabkan kawasan hutan tergadai dan pembangunan tidak seimbang.

“Kami amat meragui kekerapan pembatalan status rizab tanah Melayu yang dilakukan oleh kerajaan negeri atas alasan pembangunan atau pelancongan atau yang terkini atas sebab perindustrian.

“Bagi kami akan terhakisnya entiti daerah Manjung sebagai salah satu kawasan alam sekitar yang cantik yang menarik ramai pelancong untuk hadir,” katanya.

Beliau membangkitkan perkara itu setelah kira-kira setahun tanah Teluk Senangin seluas 14.67 hektar di mukim Lumut Manjung diwartakan pembatalan status rizab Melayu pada Mac tahun lalu.

Beliau juga membangkitkan dua kes pembatalan tanah rizab Melayu di kawasan sekitar itu pada April 2004 (89.83 hektar) dan Teluk Rabiah (163 hektar) untuk pembangunan komersial pada Julai 1989.

Dalam kenyataannya hari ini, Raja Ahmad mendesak penjelasan daripada kerajaan negeri atas keperluan pembatalan status itu.

Dewan itu juga berkata akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk mendapatkan penjelasan dan melahirkan kebimbangan mereka dengan situasi semasa itu.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.