Header Ads

Penceroboh menembak mati polis, seorang diculik di Pulau Mabul

Penembak dalam pakaian askar dilaporkan menembak mati polis dan kemungkinan menculik seorang lagi anggota polis selepas kejadian menembak di Pulau Mabul berdekatan Semporna, Sabah, menurut laporan media.

Menurut laporan media, lapan penembak mendarat di pulau tersebut sekitar 11.30 malam semalam, kemudian mencetuskan insiden tembak-menembak dengan anggota polis sebelum tengah malam.

Penyelam yang tinggal di resort di pulau tersebut berkata mereka mendengar bunyi tembakan.

Pencerobohan ini berlaku hanya sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beberapa langkah keselamatan tambahan yang akan dilaksanakan untuk menguatkan lagi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ekoran penyusunan semula pentadbiran.

Katanya, ini termasuk menghantar kargo kontena Malaysia International Shipping Corporation Berhad’s (MISC), MT Bunga Mas Lima ke Sabah, di mana ia akan bertindak sebagai kapal induk bagi aset maritim dan staf berdekatan dengan sempadan Filipina.

Laporan memetik perdana menteri berkata kapal tersebut akan menjadi pangkalan operasi menghalang mereka yang melarikan diri ke negara jiran selepas melakukan jenayah.

Tambahan lagi, kata Najib, dua platform Petronas sedang diubahsuai dan akan ditubuhkan menjelang akhir tahun sebagai pertahanan terakhir antara Lahad Datu dan perairan Semporna.

Platform tersebut akan dilengkapkan dengan radar moden yang membolehkan pasukan keselamatan untuk menjejak pergerakan tidak kira siang atau malam di kawasan tersebut, katanya.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.