Header Ads

Terkini virus JE: 16 kes jangkitan, 4 kematian

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata sebanyak 16 kes jangkitan virus Ensefalitis Jepun (JE) dengan empat kematian dilaporkan sehingga kini.

Beliau berkata kes kematian itu melibatkan dua mangsa di Sabah dan masing-masing seorang di Kelantan dan Selangor.

Mangsa terbaru disyaki dijangkiti virus JE ialah seorang murid berusia 12 tahun di Pulau Pinang pada Jumaat lepas, katanya dalam kenyataan di ibu negara hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa itu terdedah kepada gigitan nyamuk pembawa virus JE semasa menyertai aktiviti perkhemahan di kawasan sekolah, yang terletak berhampiran dengan ladang khinzir, pada 24 hingga 26 April lepas.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Kedah telah menjalankan siasatan kes dan melakukan aktiviti kawalan di sekolah kanak-kanak itu di Seberang Perai Utara, dan kediamannya di Padang Serai, Kedah.

Antara aktiviti kawalan yang dilaksanakan adalah mengesan penduduk dan pelajar jika mempunyai simptom JE, melaksanakan semburan kabus, menghapuskan tempat pembiakan nyamuk dan menjalankan aktiviti pendidikan kesihatan terhadap penduduk di sekitar kediaman, termasuk pelajar di sekolah berkenaan.

Dr Subramaniam berkata tiada penduduk atau pelajar yang mengalami tanda-tanda JE tetapi pemantauan ini tetap akan dilakukan sehingga tiada transmisi jangkitan berlaku.
Dikuasakan oleh Blogger.