Header Ads

Tutup pintu sempadan Rafah: Mesir tidak peduli penderitaan rakyat Palestin

Mesir sudah menutup semula pintu sempadan di Rafah selepas melonggarkan sekatan perjalanan itu hanya beberapa hari lalu ketika serangan rejim Zionis terus meningkat, kata pihak berkuasa Palestin seperti yang dilapor Press TV.

"(Kami) kesal dengan langkah yang diambil oleh Mesir ini," kata Iyad al-Bozum, jurucakap Kementerian Luar di Gaza pada Jumaat.

Katanya lagi, keputusan Mesir itu menunjukkan betapa ia tidak peduli dengan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.

Pihak berkuasa di Gaza telah menyiapkan ambulans dan bas untuk membawa mereka yang cedera keluar dari Gaza selepas negara jiran itu membuka sempadan di Rafah pada Rabu.

Pihak berkuasa Mesir kembali menutup hampir sepenuhnya pintu sempadan dengan Gaza selepas bekas Presiden Mohamed Morsi digulingkan oleh tentera pada Julai 2013 atas alasan keselamatan.

Sebelum itu, pintu sempadan Gaza pernah ditutup sejak Jun 2007 selepas setahun Hamas menang pilihan raya.

Penutupan sempadan itu menambah kesempitan hidup lebih kurang 1.7 juta penduduk Palestin yang hidup bagai dalam penjara terbuka di Gaza.
Dikuasakan oleh Blogger.