Header Ads

[VIDEO] Pesawat Malaysia Airlines ditembak jatuh di Ukraine, 295 penumpang terbunuh

Sebuah pesawat penumpang dari Malaysia telah ditembak jatuh di timur Ukraine pada Khamis menyebabkan kesemua penumpang 295 orang termasuk anak kapal telah terbunuh, kata seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri Ukraine yang dipetik dari agensi berita Ukraine Interfax.

Menurut sumber lain, pesawat Boeing 777 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan terhempas berhampiran bandar Donetsk, kubu kuat militan pro-Russia, kata Anton Gerashchenko.

Namun tiada pengesahan rasmi dilaporkan, walaupun dilaporkan pegawai penguasa Ukraine berkata penduduk tempatan telah menemui bangkai pesawat MAS itu.

Pihak Malaysian Airlines (MAS) memberitahu dalam laman Twitternya bahawa mereka telah terputus hubungan dengan pesawat MH17 dari Amsterdam itu.

"Malaysia Airlines telah terputus hubungan daripada MH17 dari Amsterdam.

"Kedudukan terakhir (pesawat MH17) berada di ruang udara Ukraine," kata pihak MAS dalam Twitter.

Gerashchenko dipetik sebagai berkata, "Pesawat awam itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur baru sahaja ditembak jatuh oleh peluru berpandu anti kapal terbang...280 penumpang dan 15 anak kapal telah terbunuh.

"Laporan rasmi Interfax-Ukraine dipetik berkata pesawat hilang dari radar apabila ia terbang pada 10,000 meter (33,000 kaki) ketinggian penerbangan tipikal untuk pesawat berkenaan.


Dikuasakan oleh Blogger.