Header Ads

Krisis MB Selangor dedah siapa sebenarnya PAS

WALAUPUN Pakatan Rakyat (PR) hampir berpecah di Selangor, tapi Umno Selangor masih tidak dapat mengambil kesempatan.

Ini tidak lain, tidak bukan kerana Umno terlalu lemah di Selangor.

Yang menarik ialah kata-kata Tan Sri Muhyiddin Yassin yang krisis MB Selangor boleh menjadi pengajaran kepada BN sejurus pendirian Pas diketahui semalam.

Meskipun diapi-api Utusan sejak seminggu yang lepas, Pas dan presidennya Abdul Hadi Awang membuat pendirian memberikan pilihan kepada PR dan Sultan Selangor untuk memilih antara Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Azmin Ali sebagai calon yang sesuai untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Pendirian bijak itu tersebut mengejutkan lawan Pas iaitu Umno, dan juga mengkagumkan rakannya DAP dan PKR.

Dakwaaan Pas menolak Dr Wan Azizah kerana beliau seorang wanita seperti yang didakwa pelbagai pihak termasuk PKR terbukti fitnah semata-mata dengan pendirian Pas semalam.

Dakwaan bahawa Pas berniat bekerjasama dengan Umno juga jauh meleset.

Geng yang menuduh Pas tidak pandai berpolitik dan tidak tahu bertahaluf juga tak benar.

Meskipun dihentam kiri kanan oleh rakan-rakan di Pakatan kerana hanya ingin bermesyuarat pada 17 Ogos, Pas tetap dengan komitmen bersama PR.

Pas tidak bersikap seperti pihak-pihak lain yang suka “force the issue” (memaksa sesuatu isu) apabila ada perbezaan pendapat.

Kerana ingin mencapai konsensus atas terma sendiri, mereka suka menggunakan frasa-frasa seperti “24 jam yang kritikal”, “peluang terakhir”, “tindakan segera” dan “buktikan sekarang” untuk memaksa rakan-rakan untuk membuat keputusan. Tindakan-tindakan sedemikian langsung tidak membantu dalam menguatkan talian persahabatan.

Ada pula yang suka “buat dulu”, lepas itu maklum. Mereka tidak berminat bertanya sama ada rakan lain suka makan nasi mahupun bubur, yang mereka nak sampaikan ialah “dah jadi bubur, kau telanlah sahaja.” Mereka bukan sahaja bersikap begitu pada rakan, malah pada pihak istana.

Terdapat juga golongan yang amat gopoh sehingga sanggup melangkau ke hadapan dahulu dalam keputusan mereka tanpa memikirkan perasaan dan perkiraan pemimpin sendiri. Ini menunjukkan mereka sudah kurang berkeyakinan atau termakan fitnah bahawa parti mereka sendiri tidak berupaya menyelesaikan kemelut ini dengan baik.

Pas menjaga perasaan semua pihak – rakan-rakannya dan juga pihak istana. Pas pastikan hati Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terguris dengan memastikan nama Dr Wan Azizah adalah antara calon yang disokong Pas, meskipun istana menolak permintaan pertama beliau untuk mengadap.

Pas menjaga hati istana dengan membiarkan lebih satu pilihan untuk dipilih menggantikan Khalid. Pas tidak mahu istana terasa Pakatan ada sikap “forcing the issue” – di mana kena mati-mati terima calon yang dicadang Pakatan. Bagi Pas, istana ialah satu institusi yang perlu dihormati dalam kerangka demokrasi negara.

Akan tetapi, selepas mesyuarat di sebuah hotel di Subang Jaya semalam, PR tetap memutuskan untuk menghantar nama Dr Wan Azizah seorang sahaja untuk diperkenan istana. Jika istana menolak, Pas bolehlah bagi tahu nanti – “I have told you so.” Kalau terjadi pembubaran Dun pada masa itu, ingatlah ia bukan salah Pas lagi.

Pengerusi Umno Selangor Noh Omar menyifatkan apa yang berlaku di Selangor sebagai ‘luar tabie’. Bahasa melambangkan watak, jadi penulis tidak perlu mengulas lanjut mengenai perwatakan beliau.

Tapi Noh Omar sedar tak, yang lebih luar biasa di Selangor ialah ketidakmampuan Umno Selangor untuk melakukan apa-apa untuk mengocak situasi dan mengambil kesempatan politik yang begitu meruncing di antara parti-parti komponen PR.

Dengan berbekalkan 12 kerusi Dun, yang Umno boleh buat hanyalah bermain batu api. Tapi itu pun tidak menjadi, apabila exco Selangor daripada Pas Sallehin Mukhyi membuat pendirian tegas akan keluar daripada kerajaan Khalid jika ada Adun Umno yang dilantik menjadi exco.

Kenyataan Sallehin adalah satu langkah cermat menutup segala lubang untuk Umno melakukan sabotaj. Ia adalah langkah “checkmate” kepada Umno Selangor, cuma rakan-rakan Pakatan tidak faham kerana dibutai oleh kemarahan kepada Khalid yang baru memecat exco-exco daripada DAP dan PKR.

Perkara yang paling besar untuk disedari Umno-BN di dalam episod di Selangor ini ialah jangan pandang lemah pada kredibiliti dan komitmen Pas, dan jangan lagi cuba menangguk di air keruh setiap kali berlaku perbezaan pendapat di kalangan pemimpin Pas.

Barangkali itulah pengajaran yang dimaksudkan oleh Muhyiddin – bagaimana tertekan sekalipun, jangan harap Pas mengkhianati sahabat mereka. Sejarah membuktikannya. Dan pada 17 Ogos 2014, Pas membuktikannya sekali lagi.

Ditulis oleh Timmy Say

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.