Header Ads

Microsoft umum telefon bimbit murah, harga pasaran RM80

Microsoft mengumumkan telefon bimbit murah yang boleh memainkan video dan muzik, namun tidak boleh dipakai untuk mengakses internet.

Telefon berkenaan iaitu Nokia siri 130, dipasarkan dengan harga US$25 (RM80) dan akan memasuki pasaran di banyak negara seperti China, Mesir, India, Indonesia, Kenya, Nigeria, Pakistan, Filipina, dan Vietnam.

Pelancaran Nokia 130 itu sekaligus membuktikan bahawa Microsoft masih mahu bersaing dalam pasaran kelas bawah telefon bimbit dunia.

Sebelum ini, selepas menguasai pegangan terhadap pemilikan telefon jenama Nokia pada April lalu, Microsoft dikatakan akan meninggalkan persaingan dalam pasaran telefon berharga murah.

"Pasaran telefon bimbit murah masih besar dan tidak banyak pesaing yang bersaing dalam bahagian ini. Kami menganggap telefon jenis ini masih sangat penting," kata Jo Harlow, Eksekutif perniagaan telefon Microsoft kepada BBC, semalam.

"Kami mempunyai rangkaian pengedaran untuk dapat bersaing dengan berkesan dalam bahagian ini di mana penembusan pasaran telefon pintar tidak begitu besar," jelasnya

Kajian menunjukkan lebih 300 juta unit telefon bimbit murah dengan harga bawah US$35 (RM112) per unit terjual setahun.

Selain Microsoft, Samsung, Micromax (syarikat India), dan TCL (China) turut bersaing dalam pasaran telefon bimbit berharga murah.

Microsoft turut bersaing di kelas atas (harga mahal) melalui siri Lumia yang menggunakan sistem operasi Windows.
Dikuasakan oleh Blogger.