Header Ads

Pecat dua ADUN yang bersedia ‘dibuang parti’

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) akan menghantar surat aduan meminta PAS Pusat mengambil tindakan memecat dua ADUN PAS di Selangor yang bertindak mendahului keputusan parti.

[Tonton video berkaitan di bawah artikel ini]

Penegasan itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat parti peringkat negeri yang diadakan pada Khamis 21 Ogos dan bersetuju juga menghantar surat kepada Majlis Syura Ulamak secepat mungkin.

Menurut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat, tindakan dua ADUN ‘membelakangkan parti’ adalah tidak wajar dan perbuatan mereka melibatkan soal wala’ atau ketaatan kepada pemimpin.

Katanya, ia bukan sahaja melanggar akhlak sebagai seorang Islam tetapi juga bertentang dengan prinsip PAS.

“Soal disiplin kita tidak kompromi. Kalau di peringkat dalaman kita boleh berbeza pandangan, berbeza pendapat dan berbincang.

“Kita tiada masalah tetapi bagi tindakan sebegitu, membelakangkan kepimpinan sedangkan Majlis Syura Ulama menentukan keputusan, jadi ini kita rasa tidak wajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media sempena sambutan hari raya BPPNT di pejabat PAS Jalan Sultan Omar di sini, Khamis 21 Ogos.

Pada minggu lalu, PAS Pusat memutuskan akan menyiasat perilaku dua ADUN iaitu Saari Sungib (Hulu Kelang), Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin (Morib), yang menyatakan sokongan terbuka kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Kedua-duanya mengambil langkah tersebut, sebelum mesyuarat Jawatankuasa PAS yang bersidang pada 17 Ogos, bagi memutuskan perkara terbabit.

Bahkan, lebih malang lagi, kedua-dua ADUN PAS itu mengakui tidak merujuk pucuk pimpinan PAS dan sedia berhadapan dengan sebarang tindakan disiplin termasuk dibuang parti.

Mengulas lanjut, Satiful Bahri yang juga ADUN Paka berkata, tindakan memecat ahli terutama wakil rakyat bukanlah perkara baharu dalam PAS.

Katanya, PAS pernah memecat bekas ADUN Gombak Setia, Datuk Dr Hassan Mohd Ali kerana tindakan disiplin.

“PAS pernah pecat Ahli Parlimen kerana permasalahan akhlak kerana berjoget yang menjejaskan imej PAS(dan) PAS juga pernah pecat kepimpinan di Terengganu, juga berkait dengan masalah bercanggah dengan perjuangan kita,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut meminta Majlis Syura Ulama menyaring nama-nama calon yang akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada masa akan datang.

Menurutnya, ia bertujuan untuk memastikan imej Pas terus terpelihara daripada perkara yang menjejaskan parti, terutama pihak tertentu yang mahu menjadikan PAS sebagai ‘alat’ untuk kepentingan sendiri.

“PAS telah membuka ruang sebegitu luas. Kadang-kadang kita bimbang ada orang ambil kesempatan PAS sebagai ‘platform’ selain dari yang diputuskan oleh parti sendiri. Kita tidak mahu bibit-bibit ini terus berkembang,” katanya.


Dikuasakan oleh Blogger.