Header Ads

Tak sabar tunggu PRU14, Anwar khianat rakyat Selangor?

…kerana tak sabar menunggu pilihan raya pada 2017 atau 2018. Gerakan seperti ini adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Selangor yang mengundi PR atas lambang Pas, DAP dan PKR

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyebut dua alasan kenapa beliau bertindak mengkritik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan itu kerana sebagai ahli Pas, beliau tidak boleh berdiam diri melihat serangan hendap ke atas peribadi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor, Raja Idris Raja Kamarudin yang telah dikenalinya sejak berada di UK lagi .

Malah beliau mendakwa serangan-serangan peribadi tersebut yang disiarkan sebuah portal berita sebelum ini dipercayai bersumberkan orang sekeliling Anwar.

“Saya kritik Anwar disebabkan dua perkara. Pertama, saya dimaklumkan, ada suatu bentuk serangan-serangan hendap yang dilakukan ke atas peribadi Tuan Guru Presiden dan Raja Idris. Bahawa mereka inilah yang pertahankan Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) disebabkan kepentingan peribadi. Ini dilakukan melalui sebuah portal berita online.

“Melalui wartawan yang menulis, berita itu datang (sumber) dari orang sekeliling Anwar. Sebagai ahli Pas, saya tak boleh berdiam diri. Apakah apabila kita serang semula, kita dituduh tidak amanah dan bertujuan meruntuhkan PR? Serangan itu masih berterusan sehingga ke hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Solat Hajat Perdana ‘Munajat Selamatkan Gaza dan Selangor Bumi Bertuah’ di sini, malam tadi.

Alasan kedua Anwar dikritik adalah kerana keputusan Langkah Kajang yang disifatkan memperjudi kepercayaan rakyat Selangor kepada PR ekoran tidak mampu bersabar untuk menuju ke Putrajaya.

“Langkah Kajang merupakan jalan pintas untuk menuju Putrajaya. Pas telah masuk pilihan raya sejak 1955 dan kita bersabar walaupun tak menang pada tahun 2013. Meskipun ketika itu ramai pemimpin PR yakin kita dapat ke Putrajaya tapi ALLAH takdirkan belum sampai masanya.

“…kerana tak sabar menunggu pilihan raya pada 2017 atau 2018. Gerakan seperti ini adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Selangor yang mengundi PR atas lambang Pas, DAP dan PKR,” katanya.

Tegasnya, amanah yang diberi rakyat perlu dipikul bukan dengan menjadikan negeri itu sebagai jalan pintas.

“Rakyat Selangor beri amanah kepada Abdul Khalid dan pasukannya supaya kita singsing lengan, turun padang untuk beri khidmat kepada rakyat. Bukan jadikan Selangor jalan pintas untuk mendapatkan jawatan-jawatan penting di Putrajaya.

“Langkah Kajang satu persoalan yang rakyat perlu tahu. Malah, gerakan untuk Langkah Kajang ini tak dimaklumkan sepenuhnya kepada pimpinan PR termasuk Pas,” katanya.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.