Header Ads

Dr Maza: Isteri dan Kroni

Dr Maza
Betapa ramai pemerintah yang dibenci kerana tingkah laku isteri dan kroni. Inilah ancaman dalaman yang meragut peluang dan kesempatan sehingga kekayaan negara tertumpu dalam tangan mereka. Hanya pemerintah yang amanah dan cekap sahaja dapat menguruskan negara dari ancaman luaran dan dalaman ini. Hasilnya, kasih-sayang rakyat dan kesetiaan lahir dalam tindakan para pegawai kerajaan dan rakyat bawahan. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah:

“Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya. Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda: “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”

“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.

Sambung Ibn Taimiyah lagi: “Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.”

Lagi kata Ibn Taimiyyah: “Pernah dibawa kepada ‘Umar bin al-Khattab r.a. harta yang banyak dari bahagian khumus (bahagian dari rampasan perang). Kata ‘Umar: “Sesungguhnya tentera telah menunaikan amanah”. Kata mereka yang hadir kepada ‘umar: “Sesungguhnya engkau telah menunaikan amanah kepada Allah ta’ala, maka mereka pun menunaikan amanah kepada engkau. Jika engkau mengambil harta negara sesuka hati, begitulah juga mereka akan lakukan” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)]

Petikan Dari FB
Dr Mohd Asri Zainal Abidin
Bekas Mufti Perlis
Dikuasakan oleh Blogger.