Header Ads

Harga kenderaan turun kerana GST?

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya akan menurunkan harga kenderaan sekitar satu hingga tiga peratus apabila ia dilaksanakan April 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari berkata, penurunan tersebut bergantung kepada kos struktur kenderaan yang dikeluarkan.

“Memang tidak dinafikan cukai jualan sekarang 10 peratus dan apabila GST dilaksanakan ia akan turun empat peratus dan kita pun fikir harga kenderaan turun sebanyak itu, tetapi ia agak mustahil.

“Ini kerana berdasarkan simulasi kami harga kereta dilihat akan turun antara satu hingga tiga peratus sahaja bergantung kepada model dikeluarkan,” katanya selepas Persidangan Teknologi Tahunan Altair 2014 di Kuala Lumpur.

Mohd Madani berkata, orang ramai tidak patut menunggu untuk membeli kereta sehingga GST dilaksanakan memandangkan Perusahan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Proton Holdings Berhad (Proton) bakal melancarkan kenderaan cekap tenaga dengan harga kompetitif dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada kerajaan patut menentukan harga kereta atau tidak Mohamad Madani berkata, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Harga kereta bukan ditentukan kerajaan tetapi oleh pengeluar kenderaan sendiri dengan mengambil kira harga bahan mentah serta kos operasi semasa.

“Selain itu, vendor dan rangkaian bekalan yang bekerjasama dengan pengeluar turut menentukan harga jualan kenderaan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Altair Engineering Sdn Bhd (Altair) juga merupakan penganjur Persidangan Teknologi Tahunan Altair 2014, menyasarkan perniagaan perisian simulasi dan perkhidmatan perundingannya di Malaysia berkembang 25 peratus setahun.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.