Header Ads

Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Indonesia

Aksi penjaga gol Harimau Malaya, Azizon Abd Kadir menyelamatkan pintu gol Malaysia daripada dibolosi pemain Indonesia di Surabaya, semalam.
Skuad Harimau Malaya meneruskan persembahan hambar mereka pada aksi persahabatan antarabangsa apabila kalah 0-2 kepada Indonesia di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia, semalam.

Ia merupakan kekalahan kedua skuad kendalian Dollah Salleh tahun ini selepas kecundang 1-4 kepada Tajikistan pada aksi persahabatan pertama di Stadium Central, Dushanbe, Tajikistan, 8 Ogos lepas.

Pada perlawanan hari ini, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun gagal menemui sentuhan jaringan sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan yang disiarkan oleh sebuah televisyen berbayar itu.

Bersambung separuh masa kedua, Indonesia, dengan sokongan padu daripada penyokong setia mereka, terus menggandakan serangan ke kubu Malaysia.

Usaha mereka ternyata berbaloi apabila pemain pertahanan negara, Mohd Muslim Ahmad yang tertampan bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-64 ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang daripada pemain tuan rumah.

Skuad 'Garuda' berjaya menggandakan jaringan menerusi tandukan penyerang kelab Liga Super Indonesia, Arema Cronus, Samsul Arif Munif pada minit ke-88 selepas memanfaatkan hantaran lintang daripada rakan sepasukan.

Malaysia akan meneruskan aksi persahabatan menentang Kemboja pada 20 September ini di Stadium Shah Alam sebelum berdepan Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Oktober.

Perlawanan persahabatan itu merupakan persediaan Dollah bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 yang dijadualkan berlangsung di Singapura dan Vietnam dari 22 November hingga 20 Disember ini.

Malaysia berdepan laluan sukar pada kejohanan membabitkan negara rantau Asia Tenggara itu selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Singapura dan juara tiga kali Thailand dan pemenang dari pusingan kelayakan.

Pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki akan berlangsung di Laos dari 12 hingga 20 Oktober ini membabitkan empat negara iaitu Myanmar, Brunei, Timor Leste dan Kemboja bagi merebut dua slot terakhir kejohanan. - Bernama

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.