Header Ads

Harimau Muda B-16 tewas tipis kepada Korea Selatan

Skuad bola sepak Bawah 16 Tahun negara mengalami kekalahan pertama pada Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 Tahun AFC 2014 di Thailand.

Skuad Harimau Muda Bawah 16 tahun tumpas 0-1 kepada Korea Selatan pada perlawanan kedua Kumpulan A di Stadium Muangthong di Bangkok pada Isnin.

Lee Seungwoo muncul wira bagi juara dua kali itu selepas menjaringkan gol tunggal pada minit ke-15 perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan Korea Selatan terus mendahului Kumpulan A dengan enam mata selepas dua perlawanan manakala Malaysia di bawah bimbingan S.Balachandran kekal di tangga kedua walaupun tewas.

Thailand, yang tewas 0-1 kepada Malaysia pada perlawanan pembukaan pada Sabtu, mencatatkan kemenangan pertama selepas menundukkan Oman 1-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A.

Malaysia akan menamatkan jadual perlawanannya dalam Kumpulan A dengan menentang Oman di Stadium Rajamangala manakala Korea Selatan akan bertemu Thailand di Stadium Muangthong.

Kedua-dua perlawanan akan berlangsung pada Rabu. Dua pasukan teratas dari setiap empat kumpulan akan mara ke suku akhir kejohanan.

Untuk rekod, Malaysia layak ke kejohanan itu sebanyak dua kali iaitu pada 2004 di Jepun dan 2008 di Uzbekistan, tetapi gagal melepasi peringkat kumpulan.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.