Header Ads

MAS kini milik penuh Khazanah

Setelah terus ditimpa kerugian dan tidak berupaya bangkit dengan pantas, akhirnya MAS kini milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Khazanah menyalurkan RM6 bilion bagi tujuan penstrukturan semula dan dana pelaburan kepada MAS baharu.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, daripada jumlah itu RM1.4 bilion adalah bagi tujuan penyenaraian semula MAS, RM1.6 bilion untuk penstrukturan semula dan kos pemberhentian MAS sedia ada (OldCo) serta RM3 bilion hanya untuk MAS baharu dalam tempoh tiga tahun.

“Langkah diumumkan ini akan membolehkan syarikat penerbangan negara ini dapat dipulihkan semula,” katanya selepas pengumuman 12 perkara pelan penstrukturan semula MAS.

Penyenaraian semula MAS sedia ada akan berakhir pada hujung 2014. Manakala, MAS baharu akan berkuat kuasa bermula 1 Julai 2015.

Menurutnya, pihaknya yakin menerusi langkah itu, MAS akan memberi pulangan dalam tempoh tiga tahun selepas penyahsenaraiannya pada akhir 2017 dan disenaraikan semula kemungkinan akhir 2019.

Menerusi 12 perkara itu, MAS juga akan mengurangkan 30 peratus kakitangan sedia ada daripada 20,000 kepada 14,000.

“Kira-kira 6,000 kakitangan ditawarkan akan diberhentikan kerja di bawah pelan yang termasuk skim pemberhentian sukarela (VSS) dan juga menawarkan pekerjaan kepada 3,500 pekerja MAS dalam syarikat-syarikat lain di bawah Khazanah Nasional,” katanya.

Sebelum ini, Khazanah memegang kepentingan MAS hampir 70 peratus dan menerusi penstrukturan semula ini, MAS kini dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah.


MAS akan kembali untung dalam tiga tahun

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya yakin MAS akan kembali untung dalam tempoh tiga tahun selepas penyahsenaraiannya pada akhir 2017 dan disenaraikan semula kemungkinan akhir 2019.

Khazanah mengambil alih MAS dalam usaha memacu syarikat penerbangan nasional kebanggaan negara itu memperoleh keuntungan berikutan mengalami kerugian lebih teruk selepas kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu dan MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai lalu.

Sementara itu, Lembaga Pengarah MAS mengalu-alukan pengambilalihan oleh Khazanah dalam usaha membina semula MAS, sekali gus memulihkannya daripada terus rugi.


Ahmad Jauhari kekal CEO MAS

Dalam pada itu, Khazanah memutuskan untuk mengekalkan Ahmad Jauhari Yahya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS sehingga 1 Julai 2015.

Azman berkata, tempoh perkhidmatannya akan dilanjutkan sementara waktu bagi memudah dan melancarkan operasi peralihan MAS daripada syarikat lama kepada syarikat baharu.

“Bagaimanapun ketua pegawai eksekutif baharu MAS akan diumumkan.

“Kami mencari pengganti yang mempunyai pengetahuan luas dalam industri penerbangan dan merupakan pemimpin syarikat Malaysia atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, ibu pejabat MAS yang terletak di Subang juga akan dipindahkan ke KLIA.

Katanya, perpindahan itu akan membolehkan penggabungan operasi, menambah baik keadaan kerja dan sebagai salah satu permulaan bagi MAS baharu.

Sementara itu, mengulas berhubung penjenamaan semula MAS, Azman berkata, Khazanah mengesyorkan nama MAS dikekalkan.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.