Header Ads

PAS berdoa Azmin dapat pikul amanah besar

PAS merakamkan ucapan tahniah kepada Timbalan Presiden PKR yang juga Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali yang telah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai menteri besar yang baharu hari ini.

"PAS berdoa agar amanah yang besar ini akan dapat dipikul oleh YAB Tuan Mohamed Azmin Ali dengan taufik dan panduan dari Allah SWT," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PAS berharap pelantikan itu akan memastikan kesinambungan dan kecemerlangan pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor sejak 2008 untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya.

PAS juga, kata beliau akan memberikan kerjasama berterusan kepada Menteri Besar Selangor melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang akan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Adun, Ahli Dewan Rakyat PAS dan seluruh Ahli-Ahli Majlis untuk memastikan khidmat yang terbaik kepada rakyat di negeri Selangor secara khususnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, PAS juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di atas khidmat yang cemerlang sebagai Menteri Besar Selangor dari 2008 hingga 2014.

"Semoga Allah SWT melimpahkan kebaikan dan rahmat-Nya di atas khidmat beliau selama ini," ujarnya beliau lagi.
Dikuasakan oleh Blogger.