Header Ads

PAS kekal bersama PR, tolak Umno

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS akan terus istiqamah mengadakan tahaaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat selama mana tidak berlaku pelanggaran syarat yang telah digariskan.

Pada masa yang sama, beliau mahu rakan parti dalam Pakatan supaya tidak mengkhianati kerjasama yang terbentuk.

Beliau membaca sepotong ayat al-Quran yang menjelaskan syarat iaitu mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

"Sepanjang sejarah perjuangan PAS, kita tidak pernah khianat kepada rakan tahaaluf kita, maka kita minta rakan tahaaluf kita juga tidak mengkhianati tahaaluf ini.

"Sebagai sebuah parti politik besar, apa jua rancangan besar mestilah diputus bersama sebelum ianya dilaksanakan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk "Terus beistiqamah" pada Muktamar PAS di Batu Pahat.

Beliau turut mempertegaskan bahawa dakwaan bahawa PAS akan menyertai atau bergabung dengan Umno adalah "tohmahan" dan "api fitnah" yang dicetus oleh mereka yang mahu memecah dan merosakkan perjuangan Islam.

"Namun sebagai sebuah jamaah Islam yang membawa rahmat kepada semua, kita tetap berpegang kepada prinsip Islam dan terus beristiqamah untuk memelihara perpaduan ummah berasaskan tali Allah," katanya.

Mengimbau pengalaman PAS dalam mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak sejak tahun 50-an, Abdul Hadi mengingatkan bahawa tahaluf yang dilaksanakan mesti memperkuatkan parti dan bukan bertujuan melemah sehingga mencetuskan pergaduhan sesama anggota parti.

"Amat malang bagi kita sekiranya tahaluf ini menyebabkan ada pihak yang cuba melemahkan kita, mengkucar-kacirkan kita, sehingga ada yang pening dan mabuk lantaran sanggup berlawanan sesama sendiri.

"Kerjasama politik bukan bermakna kita menyerap masuk ke dalam sistem lain, atau parti lain, sehingga hilang prinsip dan jati diri kita, atau hanya menjadikan ukuran kemenangan semata-mata sebagai matlamat, sehingga menghilangkan dasar parti bagi pelaksanaan Islam," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin dan anggota parti supaya perjuangan Islam untuk mencapai kemenangan mestilah di atas landasan syarak dan memperolehi pahala di sisi Allah bukan sekadar politik biasa sebagaimana yang difahami oleh Barat.   

Dalam ucapannya juga, Abdul Hadi berkata politik Islam membenarkan tahaluf antara mana - mana golongan yang tidak memusuhi Islam sekaligus membuktikan Islam bukanlah agama ekstrem seperti yang dijaja media barat.

"Sebagai sebuah gerakan yang berpaksi kepada al-Quran dan Sunnah, maka setiap langkah tahaluf kita mestilah mempunyai sandaran dan terikat dengan syarat-syarat tahaluf yang berpaksi kepada kedua sumber tersebut, tanpa merugikan kepentingan Islam.

"PAS juga tetap menghubungkan silaturrahim dengan semua pihak berpandukan kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah, saling bantu membantu dalam usaha menegakkan syariat, membuka ruang dialog dan wacana demi kebaikan dan masa depan umat Islam," katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.