Header Ads

PKR minta PAS pujuk Ku Li

PAS bukan parti pertama dalam Pakatan Rakyat yang mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi mendedahkan, PKR merupakan parti pertama yang bertemu Ku Li dan mengajak bekas presiden Parti Semangat 46 itu menyertai mereka.Katanya, PAS mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Kewangan itu selepas PKR dan DAP meminta PAS memujuk veteran UMNO itu menyertai Pakatan Rakyat.

“Yang mula-mula berjumpa Tengku Razaleigh, PKR. Bukan kita. PKR jumpa dulu, ajak Tengku Razaleigh masuk PKR. Lepas itu, DAP berjumpa Tengku Razaleigh, ajak Tengku Razaleigh masuk DAP. Tengku Razaleigh 'dok terliur' (tidak berminat) belaka nak masuk dua-dua parti ini.

“Pah tu (kemudian) rakan-rakan kita mari berjumpa, suruh PAS pujuk supaya dia ni masuk Pakatan Rakyat, suruh PAS pujuk supaya Tengku Razaleigh masuk PAS.

Orang lain pujuk dulu, bukan PAS

“Kita pun pujuklah dia masuk PAS. Dia tak nak masuk PAS juga, dia nak duduk dalam Barisan Nasional. Itulah ceritanya, yang berlakunya. Jadi, yang bising-bising tu, kita kena fahamlah. Itu hakikat yang sebenarnya," cerita Hadi dalam taklimat di dalam dewan terbuka bersebelahan Masjid Rusila.

Sebelum ini, dalam satu forum di Kuala Lumpur, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan cadangan PAS mahu melantik Ku Li sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Bagainamapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider menyifatkan Rafizi sebagai bodoh kerana tuduhan tersebut.
Dikuasakan oleh Blogger.