Header Ads

Rakyat muak dan bosan, akurlah pilihan sultan

PKR dan DAP perlu akur menerima sesiapa sahaja yang dilantik istana sebagai menteri besar Selangor baru selagi ia seorang wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

Seruan itu dibuat Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat yang melihat krisis menteri besar ini sudah terlalu lama berlarutan.

"Rakyat akan bertambah bosan dan muak jika masih ada usaha mengheret krisis ini tanpa penghujung.

"Saya nasihatkan PKR dan DAP untuk akur sahaja dahulu dengan sesiapa yang Sultan lantik sebagai MB selagi ia dari Pakatan Rakyat.

"Pulihkan kembali muafakat kita. Kembali ke meja rundingan. Susun kembali strategi untuk menguasai suasana politik yang berkecamuk ini," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily kelmarin.

Menurutnya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin sudah menjangka krisis ini akan berlaku sejak awal lagi.Justeru, MP Marang itu memilih untuk tidak bertembung dengan istana dan langkah yang sama sewajarnya diteladani PKR dan DAP, kata Suhaizan.

"Kini krisis masuk fasa yang baru. Sultan murka kepada PKR dan DAP. Mungkin ini yang berada di pemikiran Presiden dari awal.

"Mengelakkan pertembungan dengan istana sementelah PAS adalah sebuah parti yang amat dekat dengan orang Melayu," katanya.

Suhaizan menegaskan kestabilan perlu dikembalikan di Selangor agar "Umno tidak dapat mengambil peluang."

"Dengan itu saya mengharapkan adanya cahaya di hujung terowong gelap ini," katanya.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.