Header Ads

Ranking FIFA: Harimau Malaya lonjak satu anak tangga

Kedudukan Malaysia dalam ranking bola sepak dunia bagi September tidak terjejas walaupun tewas 0-2 kepada Indonesia dalam aksi persahabatan di Surabaya, Indonesia pada Ahad lepas.

Berdasarkan senarai ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) semalam, skuad Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh meningkat ke kedudukan ke-154 dunia berbanding tempat ke-155 dunia pada Ogos.

Malaysia berada di tangga ke-154 pada Januari, 150 (Februari), 141 (Mac), 142 (April), 145 (Mei), 153 (Jun) dan ke-151 dunia pada Julai.

Kedudukan terbaharu itu meletakkan skuad kebangsaan sebaris dengan beberapa pasukan seperti Korea Utara (150), Kyrgyzstan (151), Guyana (153) dan Puerto Rico yang berada pada ranking ke-157 dunia.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia kekal berada di tangga kelima di belakang Filipina (134), Vietnam (142), Myanmar (143) dan Singapura (149).
-
Di peringkat Asia, Malaysia bagaimanapun naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-28 daripada 46 negara.

Juara Piala Dunia 2014, Jerman, pula mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,765 mata manakala Argentina berada di tangga kedua selepas mengutip 1,631 mata.

Wakil Amerika Selatan, Colombia yang sebelum ini berada di tangga keempat, merampas tangga ketiga daripada Belanda selepas mengumpul 1,488 mata.

Belanda turun satu anak tangga ke kedudukan keempat dengan kutipan 1,456 mata.

Kedudukan ranking FIFA itu melibatkan 209 negara.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.