Header Ads

Satu penghormatan buat Azizah daripada Tok Guru Hadi

Saya membaca perutusan Kak Wan (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Sekali baca memang saya bersimpati dengan Kak Wan apabila ditegur oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi tentang keupayaannya untuk menerajui sebuah negeri terkaya di Malaysia.

Bagaimanapun, sekiranya ditulusuri keseluruhan episod kemelut politik Negeri Selangor malah semenjak era Reformasi 1998, saya berpendirian teguran Tuan Guru Haji Abdul Hadi itu adalah satu penghormatan kepada Kak Wan.

Di dalam Islam amanah kepimpinan bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya satu bebanan besar yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di hari kebangkitan. Amanah kepimpinan juga bukan peluang untuk membina empayar harta dan takhta sehingga menjadikan seseorang pemimpin itu hidup mewah dan kemaruk kuasa.

Begitu ramai pemimpin yang gagal menunaikan amanah kepimpinan tersebut, menyebabkan al-Quran dan al-Hadith banyak berbicara tentang persoalan ini serta keutamaan seseorang 'Imam' yang adil.

Berhubung dengan perkara ini, seorang sahabat besar Abu Zar al-Ghifari ra pernah bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau ingin memberi aku jawatan (kepimpinan)?” Rasulullah menepuk bahu Abu Zar dan berkata; “Wahai Abu Zar, engkau seorang yang lemah sedangkan kepemimpinan adalah amanah dan pada hari kiamat nanti ia menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali orang yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan apa yang harus dia tunaikan dalam kepimpinan tersebut.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith tersebut, teguran Rasulullah saw kepada Abu Zar bukanlah satu penghinaan, sebaliknya memaparkan kasih sayang Rasulullah saw kepada sahabatnya yang dikasihi. Rasulullah saw mengingatkan Abu Zar tentang kemampuan beliau untuk memikul amanah kepimpinan yang besar, yang akan menyebabkan sahabatnya itu akan menyesal dan menjadi hina di akhirat nanti.

Lebih daripada itu, ia adalah penyelamatan Rasulullah saw ke atas Abu Zar dari pertanggungjawaban yang membebankan. Teguran Rasulullah saw itu tidak sedikitpun merendahkan darjat Abu Zar di kalangan sahabat. Abu Zar tetap dikenali sebagai antara sahabat yang termulia dan beliau sangat dikenali dijaluran yang lain iaitu bidang tasawuf atau kerohanian.

Meskipun beliau tidak menjadi pemimpin siyasah, generasi yang terkemudian mengenali Abu Zar sebagai pemimpin dalam amalan kerohanian dan panduan bagi seseorang menjalani kehidupan yang zuhud.

Sejarah keberanian Abu Zar sewaktu baru memeluk Islam menjadi sebutan generasi Muslim sepanjang zaman.

Sekiranya ada anugerah Isteri Mithali, maka tidak diragukan Kak Wan adalah antara calon yang paling layak. Sewaktu suaminya dihina dengan sehina-hinanya, Kak Wan lah manusia yang mempertahankan suaminya dengan sesungguh-sungguhnya.

Ketika suaminya ditinggalkan oleh kawan-kawan rapatnya, Kak Wan lah yang terus setia dan percaya dengan kesetiaan suaminya. Beliaulah kemudiaannya menggalas harapan suaminya sebagai simbol golongan yang dizalimi, dengan memimpin Parti Keadilan Nasional (PKN) dan kemudiannya PKR.

Meskipun demikian, mereka yang rapat dengan Kak Wan semasa dia memimpin PKN dan sekarang PKR mengetahui secara lebih mendalam keupayaannya dalam melaksanakan amanah kepimpinan. Kak Wan adalah seumpama Abu Zar al-Ghifari, seseorang yang ada kelebihan hebat di bidang selain daripada amanah kepimpinan.

Perwatakan beliau begitu sesuai dengan tokoh-tokoh wanita agung seperti Sayyidah Fatimah al-Zahra, Asma binti `Umais, Asma' binti Abu Bakar dan Khansa'. Meskipun mereka ini bukan pemimpin siyasah, mereka cukup dikenali sebagai isteri dan ibu di sebalik keagungan tokoh-tokoh besar.

Mereka yang menjadi rakan malah musuh Dato Seri Anwar Ibrahim, amat menyedari bahawa Kak Wan seorang tokoh wanita yang hebat. Para musuh Dato Seri Anwar, biarpun kuat penentangan mereka terhadap Dato Seri Anwar, mereka tetap menghormati dan simpati dengan Kak Wan. Tidak kedengaran kutukan dan kritikan terhadap Kak Wan dari mereka yang mengutuk dan mengkritik Dato Seri Anwar.

Saya sendiri yang kini menjadi pengkritik Dato Seri Anwar, tidak ada apa-apa yang boleh saya lakukan untuk mengkritik Kak Wan dari sudut itu.

Saya melihat teguran Tuan Guru Haji Abdul Awang itu bukan satu penghinaan, sebaliknya satu penghargaan malah satu penghormatan kepada Kak Wan yang telah melaksanakan peranannya sebagai seorang Isteri Mithali.

Bagaimanapun, pada pandangan saya usaha untuk menobatkan Kak Wan sebagai MB akan menjadikan semua reputasinya sebagai Isteri Mithali sebelum ini tercemar. Tidak mustahil dia akan disebut selepas ini sebagai 'MB Boneka' atau lain-lain gelaran yang tidak manis.

Lebih malang lagi, ia akan menjadi 'benchmark' kepada kepimpinan wanita dalam mengetuai teraju utama siyasah di Malaysia.

Sekarang bukanlah masa untuk meraih simpati rakyat seperti yang pernah dilakukan dengan berkesannya oleh Kak Wan semasa era Reformasi 1998 dahulu. Sekarang adalah masa untuk menunjukkan model kepimpinan yang unggul di negeri Selangor, yang akan menjadi contoh sebagai negeri termaju yang juga dikenali dengan 'mini Malaysia'.

Seluruh rakyat mahu melihat bagaimana kehebatan, ketelusan, kecekapan dan kebijaksanaan seorang MB dari komponen PR menerajui negeri Selangor, yang telah diletakkan piawai yang cukup tinggi oleh Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini.

Oleh Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Dikuasakan oleh Blogger.