Header Ads

Sukan Asia 2014: Malaysia mengamuk, belasah Laos 4-0

Misi mengutip tiga mata penuh pada perlawanan kedua Kumpulan A di Sukan Asia disempurnakan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Laos, di Stadium Ansan, Incheon, Korea Selatan, semalam.

Selepas kekalahan pada aksi pembukaan kepada tuan rumah Korea Selatan, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu tiada pilihan selain memburu kemenangan seandainya berhasrat meneruskan saingan.

Begitupun, permainan yang ditampilkan kedua-dua pasukan di awal permainan tampak perlahan dengan kebanyakan gerakan lebih berlegar di kawasan tengah tanpa serangan berbahaya.

Namun ketika permainan melepasi minit ke-12, tandukan cantik kapten pasukan Aidil Zafuan Abdul Radzak berjaya membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma pemain tengah, Mohd Fandi Othman.

Sekalipun mendahului, corak permainan skuad negara tidak banyak berubah selepas itu dengan keputusan babak pertama berakhir tanpa tambahan jaringan.

Memasuki babak kedua, kegelisahan Kim Swee kian jelas kelihatan selepas tiada jaringan gol berjaya dihasilkan sepanjang 30 minit babak kedua berlangsung.

Namun semuanya berubah dengan kehadiran pemain yang sering diselubungi masalah kecederaan, Gary Steven Robbat berjaya merubah rentak permainan dengan kawalan lebih baik di kawasan tengah.

Gary membuktikan kehadirannya berbaloi apabila menjadi perancang utama kepada gol kedua negara yang disumbat penyerang, Nor Farhan Muhammad, pada minit ke-76.

Selepas bijak memperdaya empat pertahanan Laos, kuisan bijak Gary yang ke kaki Nor Farhan berjaya menghasilkan jaringan.

Gol kedua itu jelas merobek semangat pemain Laos apabila hanya selang dua minit, Fandi Othman pula mencetak namanya selaku penjaring kali ini menerusi gerakan satu dua cantik bersama Nor Farhan.

Dan gol keempat negara dilengkapkan penyerang muda, Mohd Ferris Danial yang mudah melepaskan rembatan cantik melepasi penjaga gol Laos, Soukthavy Soundala selepas berjaya mengatasi perangkap ofsaid.

Kemenangan jelas melegakan Kim Swee namun masih ada ranjau sukar menanti seandainya mahu melepasi peringkat kumpulan.

Lawan skuad negara pada perlawanan terakhir Kumpulan A ialah Arab Saudi yang sebelum ini turut menewaskan Laos 3-0 pada perlawanan pertama.

Keputusan penuh perlawanan

Malaysia [4] vs [0] Laos
'12 Aidil Zafuan Abdul Radzak (MAS)
'76 Nor Farhan Muhammad (MAS)
'79 Mohd Fandi Othman (MAS)
'81 Mohd Ferris Danial (MAS)

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.