Header Ads

UPSR: Peperiksaan kertas Matematik, Bahasa Tamil batal

Kertas ujian Mathematics 015/1 (Sekolah Kebangsaan), 025/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), 035/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) dan Bahasa Tamil 036, 037 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlangsung pada 10 September dibatalkan setelah disahkan bocor.  

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata tarikh baharu bagi ujian Mathematics 015/1, 025/1, 035/1  dan Bahasa Tamil 036, 037 adalah pada 9 Oktober setelah mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek logistik (percetakan dan pengedaran).  

"Peperiksaan ini dilaksanakan semula bagi memastikan pengendalian peperiksaan awam mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan di samping menjamin integriti dan kredibiliti keputusan UPSR tersebut," katanya dalam sidang media hari ini.  

Katanya sebagai langkah serta merta, beliau sedang mengambil tindakan untuk membuat pertukaran pegawai-pegawai di Lembaga Peperiksaan bagi memantapkan lagi pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam.  

Beliau berkata semua aspek keselamatan dalam pengurusan dan pengendalian kertas peperiksaan dari peringkat Lembaga Peperiksaan sehingga ke pusat peperiksaan diperketatkan.  

Dr Khair berkata beliau telah mengambil alih pengawasan seluruh proses pengendalian peperiksaan awam yang dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan sejak insiden kebocoran pertama dilaporkan pada 12 September.  

"Saya amat memahami perasaan, keresahan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua. Selaku Ketua Pengarah Pelajaran, saya memohon maaf kepada murid-murid, ibu bapa, guru-guru dan semua yang terlibat ekoran insiden ini.  

"Saya telahpun mengarahkan semua guru besar dan guru untuk mengenal pasti dan memberi khidmat kaunseling kepada murid-murid yang memerlukan. Saya memberi jaminan dan komitmen bahawa insiden kebocoran kertas-kertas peperiksaan awam tidak akan berulang," katanya.  

Apabila ditanya sama ada terdapat kertas UPSR lain yang didapati bocor, Dr Khair berkata Kementerian Pendidikan yakin ia tidak berlaku.  

"Sehingga semalam, inilah kertas-kertas yang berlaku kebocoran (Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Tamil)," katanya.  

Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan penyebaran berita palsu, Dr Khair menyeru orang awam untuk melayari laman web Lembaga Peperiksaan www.moe.gov.my/lp untuk maklumat rasmi dan terkini berhubung perkara ini.  

Pihak awam juga boleh menghubungi Hotline UPSR 2014 Lembaga Peperiksaan di talian 03-88883601/3551/3908/3520/3030, katanya.

sumber
Dikuasakan oleh Blogger.